SEMUA pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang mendapat keputusan 10A dan ke atas akan mendapat tempat dalam program matrikulasi tanpa mengira latar belakang mereka, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, ketetapan itu dicapai selepas mesyuarat Kabinet pada Jumaat lalu.
“Anak-anak kita semua, kalau saya sebut anak-anak, saya maksudkan Melayu, Cina, India, Dayak, Kadazan dan semuanya tanpa terkecuali.
“Jika anak-anak kita mendapat 10A dan ke atas atau mendapat keputusan cemerlang, tanpa terkecuali mereka akan mendapat tempat. Ini jaminan daripada kerajaan.
“Justeru, isu kaum tidak lagi timbul,” katanya ketika berucap pada penutup Minggu Latihan Kebangsaan 2024 di Bukit Jalil pada Khamis (27 Jun).
Tambahnya, langkah berani ini mesti dilakukan bagi memastikan peluang diberikan kepada mereka yang layak.
Anwar juga berkata, butiran keputusan itu akan dikongsikan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek pada Isnin (1 Julai). — The Star/ FAZLEENA AZIZ
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram