Budak 5 tahun maut dilanggar kereta ketika berbasikal di kawasan perumahan Seremban


  • 112
  • Isnin, 01 Jul 2024

Basikal dinaiki mangsa ketika kejadian. — PDRM

SEORANG kanak-kanak perempuan berusia lima tahun maut ketika menerima rawatan di hospital selepas mengalami kecederaan apabila dirempuh sebuah kereta ketika menunggang basikal di sebuah kawasan perumahan dekat Seremban, Negeri Sembilan.

Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, mangsa itu meninggal dunia di Hospital Tuanku Ja'afar sejam selepas kemalangan yang berlaku sekitar pukul 7 malam Ahad.

Beliau berkata, berdasarkan siasatan awal, mangsa menunggang basikalnya dan mengekori kenderaan pacuan empat roda manakala kereta yang terlibat dalam kemalangan itu datang dari arah bertentangan dan menuju ke pos pengawal.

BACA LAGI: Sijil ISO, siap Ketua Menteri mohon maaf, 3 isu hangatkan kempen PRK Sungai Bakap

BACA LAGI: Johor bukan rakan kongsi istimewa seperti Sabah dan Sarawak — Pakar Perlembagaan

“Budak perempuan itu tiba-tiba masuk ke laluan bertentangan dan pemandu kenderaan itu yang berusia 34 tahun tidak sempat berhenti dan merempuhnya,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Mohamad Hatta berkata, mangsa yang mengalami kecederaan di badan segera dikejarkan ke hospital namun, meninggal dunia tidak lama kemudian.

Beliau menggesa saksi untuk menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Fadzilah Ahmad di talian 016-2895801 atau menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Ujarnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Kami juga ingin mengingatkan ibu bapa dan individu dewasa lain untuk mengawasi pergerakan anak-anak atau ahli keluarga yang masih kecil ketika berada di luar rumah.

“Ini penting bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini,” tambahnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram