Norjuma akhirnya muncul di Kota Bharu, dakwa ada masalah dengan peguam


  • Hiburan
  • Isnin, 01 Jul 2024

Empat Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur mengarahkan waran tangkap dikeluarkan terhadap Norjuma Habib kerana gagal hadir pada prosiding sebutan kes.

SELEPAS beberapa ketika menghilang, bekas personaliti televisyen, Norjuma Habib Mohamed yang sedang berdepan empat waran tangkap daripada Mahkamah Majistret Kuala Lumpur akhirnya muncul di Kota Bharu, Kelantan pada Isnin.

Menurut laporan Harian Metro, beliau yang juga usahawan tudung itu membuat kejutan apabila tampil di majlis kesyukuran yang diadakan di sebuah hotel di bandar tersebut.

Media sebelum ini melaporkan, empat Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur mengarahkan waran tangkap dikeluarkan terhadap Norjuma Habib kerana gagal hadir pada prosiding sebutan kes.

BACA LAGI: Sijil ISO, siap Ketua Menteri mohon maaf, 3 isu hangatkan kempen PRK Sungai Bakap

BACA LAGI: Johor bukan rakan kongsi istimewa seperti Sabah dan Sarawak — Pakar Perlembagaan

Sebutan kes itu berkaitan lima pertuduhan mencederakan tiga individu dan melakukan khianat, tujuh tahun lalu.

Waran tangkap itu masing-masing dikeluarkan Majistret, Illi Marisqa Khalizan, Nurul Izzah Shaharuddin, Fatin Dayana Jalil dan Noor Elynna Hanim Abd Halim.

Ia selepas Norjuma dan penjamin iaitu adiknya tidak muncul dalam kamar mahkamah walaupun nama dan kesnya disebut beberapa kali.

Ketika kesnya disebut di hadapan Illi Marisqan, Timbalan Pendakwa Raya Hamizah Hisan memohon waran tangkap selepas Norjuma tidak muncul selepas kesnya disebut sebanyak tiga kali.

640px-KualaLumpurCourtsComplex-Malaysia-20080509-cropped

Sebutan kes di mahkamah majistret itu berkaitan lima pertuduhan mencederakan tiga individu dan melakukan khianat, tujuh tahun lalu. — Agensi

Mahkamah kemudian menetapkan 26, 29, 30 Julai serta 2 Ogos depan untuk sebutan waran tangkap.

Mengulas mengenai perkembangan tersebut, Norjuma, 44, mendakwa beliau terkejut dengan isu waran tangkap itu dengan menyifatkannya sebagai tidak masuk akal.

Beliau turut memaklumkan tidak mendapat sebarang makluman daripada mana-mana pihak termasuk peguamnya dan hanya mengetahuinya melalui laporan media.

"Saya pun tidak tahu pangkal cerita berhubung waran tangkap itu dan mengakui agak terkejut membaca laporan media berhubung isu waran tangkap. Sepatutnya perkara ini diuruskan peguam saya, bukannya pihak media.

"Sehingga kini lima peguam yang dilantik pun tidak memaklumkan perkara ini dan buat masa ini saya juga berdepan masalah kerana barisan peguam tidak memberi kerjasama kepada saya.

"Baru-baru ini pun peguam tidak hadir ke mahkamah sedangkan saya mengeluarkan kos setengah juta untuk kos mereka," katanya menerusi laporan berkenaan.

Norjuma bagaimanapun menyatakan akan hadir pada tarikh baru ditetapkan mahkamah pada Julai.

Dalam perkembangan lain, Norjuma berkata, beliau kini sedang melibatkan diri dalam bidang perniagaan baharu membabitkan industri perhotelan termasuk dengan melakukan pengambilalihan dan pengubahsuaian sebuah hotel dengan nilai kos sebanyak RM3.5 juta. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram