[VIDEO] Sempat buang 'daun', pasangan kekasih dikejar polis maut kereta terbabas ketika pusing buat drift


  • Benua
  • Ahad, 30 Jun 2024

Gabrieli (gambar kanan) maut di tempat kejadian selepas tercampak keluar daripada kereta ketika kemalangan tersebut. — Agensi

SEORANG pengedar dadah wanita di Santa Brazil maut selepas terlibat kemalangan kereta ketika cuba melarikan diri bersama teman lelakinya pada 14 Jun lalu.

Video detik kemalangan yang meragut nyawa Gabrieli Soares, 23 di bandar Selatan Brazil, Santa Catarina itu turut dirakam oleh kamera keselamatan di lokasi kejadian.

Berdasarkan maklumat polis tempatan, Gabrieli bersama teman lelakinya sedang menaiki kereta jenis Honda apabila menyedari kenderaan mereka dihampiri oleh pihak berkuasa.

Pasangan itu juga dilaporkan secara tiba-tiba menukar arah sehingga menimbulkan kecurigaan pihak berkuasa.

Menurut laporan polis, pasangan itu pada mulanya cuba menghentikan kereta, namun apabila polis menghampiri mereka memecut kenderaan dan cuba melarikan diri.

Semasa dikejar, Gabrieli juga dilihat melemparkan keluar beberapa bungkusan bahan terlarang dipercayai ganja melalui tingkap kereta.

Bagaimanapun, pemandu kereta yang juga teman lelaki Gabrieli akhirnya hilang kawalan sehingga menyebabkan keretanya terbalik.

Akibat daripada kemalangan itu, Gabrieli yang turut mempunyai seorang anak lelaki masih kecil, tercampak keluar dari kereta dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Teman lelaki yang berusia 25 tahun, cuba melarikan diri tetapi berjaya ditangkap polis.

Dia kemudiannya didapati tidak mempunyai lesen memandu dan sedang menjalani hukuman di bawah pemantauan polis.

Lelaki terbabit yang mempunyai rekod jenayah untuk kesalahan mengedar dadah sudah didakwa atas kesalahan mengedar bahan terlarang itu dan sengaja menyebabkan kematian Gabrieli. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram