[VIDEO] Polis tahan pemandu langgar lari penunggang motosikal di Johor Bahru


  • 112
  • Ahad, 30 Jun 2024

Tangkap layar daripada kejadian langgar lari yang berlaku di Johor Bahru, Johor baru-baru ini.

POLIS berjaya menahan seorang lelaki berusia 20 tahun bagi membantu siasatan berhubung kes langgar lari yang tular di media sosial pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner, Raub Selamat berkata, lelaki itu ditahan selepas dia membuat laporan polis kira-kira pukul 8.24 pagi pada hari yang sama.

Menurut Raub, pihaknya menerima laporan polis melibatkan kemalangan jalan raya yang berlaku pada pukul 7.47 pagi, di KM0.7, Jalan Pantai, Permas Jaya, Johor Bahru, Johor.

BACA LAGI: [VIDEO] Putus cinta punca lelaki asing jalan berbogel di Permas Jaya - Polis

BACA LAGI: Bimbang dimarahi ibu angkara kehilangan selipar, budak 11 tahun dakwa diculik di Permas Jaya

“Kemalangan dipercayai berlaku selepas kereta dipandu lelaki tersebut bertembung dengan motosikal yang ditunggang seorang lelaki dalam lingkungan umur 50-an.

“Bagaimanapun selepas kemalangan itu, pemandu tidak memberhentikan kenderaannya dan bertindak melarikan diri dari tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Jelas Raub, sebuah lagi motosikal ditunggangi seorang lelaki berusia 20 tahun kemudian mengejar kereta terbabit sejauh kira-kira 1.5 kilometer (km) hingga ke kawasan Taman Iskandar.

“Dalam satu perbincangan, pemandu kereta tersebut tiba-tiba cuba melarikan diri lagi dan melanggar serta mengheret motosikal milik lelaki berusia 20 tahun itu, yang diletakkan di hadapannya, sejauh 100 meter.

“Mereka yang terlibat dalam kejadian itu tidak mengalami sebarang kecederaan dan juga sudah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru (Selatan),” katanya.

Menurutnya lagi, pemandu itu didapati bebas daripada pengaruh alkohol dan dadah selepas menjalani ujian air kencing dan alat pernafasan.

Ujar Raub, dia ditahan untuk siasatan lanjut selepas membuat laporan polis pada pukul 1 tengah hari, Sabtu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu yang boleh membahayakan nyawa pengguna jalan raya lain,” katanya.

Dalam pada itu, Raub turut menjelaskan, dakwaan keluarga penunggang berusia 20 tahun itu diarah meninggalkan balai semasa membantu siasatan adalah tidak benar.

“Sebaliknya, kejadian tersebut berpunca daripada salah faham keluarga mangsa berhubung prosedur siasatan.

"Mereka sekeluarga menjawab setiap soalan yang dikemukakan pegawai penyiasat berbanding mangsa,” jelasnya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram