Bimbang dimarahi ibu angkara kehilangan selipar, budak 11 tahun dakwa diculik di Permas Jaya


  • 112
  • Selasa, 09 Nov 2021

POLIS mendapati tiada unsur jenayah berlaku dan kes diklafikasikan sebagai Tiada Tindakan Lanjut (NFA).

POLIS Johor menafikan terdapat kejadian culik melibatkan seorang kanak-kanak lelaki berumur 11 tahun yang berlaku di Permas Jaya pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, pihak Polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan menerima satu laporan polis daripada seorang perempuan kaum orang asli pada 6 November lalu mengenai kehilangan salah seorang anak kembarnya.

"Siasatan awal mendapati, kedua-dua anaknya yang berumur 11 tahun telah pergi ke kedai runcit berhampiran rumahnya pada jam 3 petang untuk membeli barang

"Salah seorang daripada mereka telah masuk ke dalam kedai manakala seorang lagi tunggu di luar kedai runcit tersebut.

"Apabila selesai membeli barang, kanak-kanak itu mendapati kembarnya yang menunggu di luar kedai telah tiada dan bertindak pulang ke rumah memberitahu kepada ibunya," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Jelasnya, wanita itu kemudian mencari anaknya di sekitar kawasan perumahan tetapi tidak berjaya menjumpainya, lalu bertindak membuat laporan polis.

Sekitar jam lima petang, anaknya memaklumkan bahawa kembarnya telah dijumpai oleh orang awam kira-kira dua kilometer dari tempat kejadian dalam keadaan baik dan selamat.

"Semasa dijumpai semula dan berjumpa dengan ibubapanya, kanak-kanak tersebut mendakwa bahawa dirinya telah dibawa lari oleh seorang lelaki yang tidak dikenali dengan memakai topeng Ninja dan dibawa ke sebuah rumah, tetapi berjaya melawan seterusnya melarikan diri.

"Hasil soal siasat oleh Ketua Polis Balai Permas Jaya bersama pegawai penyiasat kes mendapati, kanak-kanak tersebut telah memberitahu kejadian sebenar bahawa dirinya bermain kejar-mengejar dengan seorang budak lelaki sehingga kehilangan selipar," katanya.

Bimbang dimarahi oleh ibu bapanya, kanak-kanak tersebut mendakwa dirinya telah dibawa lari, kata Raub.

Tambahnya, polis mendapati tiada unsur jenayah berlaku dan kes diklafikasikan sebagai Tiada Tindakan Lanjut (NFA).

Beliau turut menasihati para ibu bapa supaya memantau pergerakan anak-anak terutamanya ketika berada di tempat awam dan menasihatkan mereka agar tidak terpengaruh dengan ajakan dan pemberian sesuatu barangan daripada individu yang tidak dikenali. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram