SUSPEK kes tembakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 14 April lalu didakwa di Mahkamah Sesyen, Kota Bharu, Kelantan pada Rabu atas tujuh pertuduhan, termasuk memiliki senjata api.
Namun, tertuduh yang merupakan pengurus sebuah syarikat pelancongan mohon dibicarakan terhadap kesemua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Nik Habri Muhamad.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memiliki senjata api jenis pistol tertulis Glock 19 Austria yang menyalahi Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.
Bagi pertuduhan kedua, lelaki itu didakwa memiliki 33 butir amunisi PMC 380 AUTO tanpa lesen sah mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 8 akta sama.
Pertuduhan ketiga pula, tertuduh didakwa memiliki satu bungkusan plastik cerah mengandungi mercun bola tanpa permit mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan boleh dihukum di bawah akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda sebanyak RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
BACA LAGI: Suspek tembak KLIA akui masih sayangkan Farah Cie
Kejadian menembak di KLIA lebih seminggu lalu mencetuskan kebimbangan sehingga hari ini.
BACA LAGI: Suspek tembak KLIA sempat tukar nombor plat kenderaan, miliki 4 IC berbeza
Sementara itu, bagi pertuduhan keempat hingga keenam, tertuduh didakwa memiliki tiga kad pengenalan milik tiga individu lain yang menjadi kesalahan mengikut 25(1)(o) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990, yang boleh dipenjara tidak lebih tiga tahun atau dengan denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya sekali.
Pertuduhan ketujuh, lelaki itu didakwa memandu Honda Civic warna putih yang menggunakan nombor pendaftaran palsu mengikut Seksyen 108(3)(f) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan boleh dihukum di bawah akta sama.
Kesalahan itu boleh didenda tidak kurang RM5,000 sehingga RM20,000 atau penjara satu tahun dan tidak lebih lima tahun, atau kedua duanya sekali.
Sebelum ini, media melaporkan seorang lelaki didakwa menyebabkan kecederaan terhadap seorang pengawal peribadi di KLIA menggunakan sepucuk pistol.
Insiden itu berlaku selepas suspek cuba melepaskan tembakan terhadap bekas isterinya, namun tersasar sebelum satu das lagi dilepaskan kepada pengawal peribadi berkenaan. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram