SUSPEK kes tembakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 pada 14 April lalu didakwa atas dua lagi pertuduhan melibatkan cubaan bunuh terhadap isterinya, Farah Cie dan sengaja mendatangkan kecederaan parah terhadap seorang pengawal peribadi.
Pertuduhan kepada Hafizul Hawari, 18, itu dibuat di Mahkamah Sesyen Sepang pada Khamis.
Dia bagaimanapun dilaporkan mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan hakim.
BACA LAGI: Suspek tembak KLIA akui masih sayangkan Farah Cie
BACA LAGI: Tembak KLIA: Saya perlukan 7 peguam, kata suspek lepas direman seminggu bermula Selasa
Mengikut dua pertuduhan itu, Hafizul yang juga pengurus syarikat agensi pelancongan berkenaan didakwa cuba membunuh ahli perniagaan, Farah Cie, 38, dan mencederakan sehingga parah seorang pengawal peribadi di aras tiga KLIA, pada pukul 1.09 pagi, 14 April lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 307 dan 326 kanun Keseksaan.
Hafizul sebelum itu pada Rabu didakwa atas tujuh pertuduhan di Mahkamah Sesyen, Kota Bharu, Kelantan termasuk bagi kesalahan memiliki senjata api tanpa lesen.
Senarai pertuduhan itu antara lain melibatkan dakwaan memiliki peluru, mercun bola, tiga kad pengenalan milik tiga individu lain dan memandu Honda Civic warna putih yang menggunakan nombor pendaftaran palsu.
Dia tidak dibenarkan untuk diikat jamin bagi pertuduhan memiliki pistol, peluru dan mercun bola, namun diberi ikat jamin berjumlah RM20,000 bagi empat pertuduhan lain.
Dalam pada itu, mahkamah membenarkan tertuduh dipindahkan ke Penjara Sungai Buloh dan menetapkan sebutan semula pada 23 Mei depan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram