Sistem pangkalan data KPM masih lemah, tidak selari dengan tema 'Guru Jauhari Digital, Aspirasi Negara Madani'


  • Massa
  • Khamis, 27 Jun 2024

Rata-rata golongan pendidik terpaksa mengambil masa yang lama untuk mengisi data dalam sistem data KPM kerana sistem itu selalu tergendala.

SISTEM pangkalan data Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) masih menghadapi pelbagai kelemahan sekali gus dilihat sebagai masalah utama yang perlu diselesaikan oleh kementerian tersebut sekiranya ingin merealisasikan tema 'Guru Jauhari Digital, Aspirasi Negara Madani'.

Hal ini kerana, walaupun tema ini menekankan pentingnya digitalisasi dalam sektor pendidikan, pelbagai isu berkaitan keberkesanan dan kecekapan sistem pangkalan data KPM terus menjadi bualan dalam kalangan pendidik.

Malah, isu itu sudah beberapa kali disuarakan namun para guru masih lagi menghadapi situasi yang sama.

BACA LAGI: Sudah 12 tahun KPM asyik bertukar tangan, warga pendidik bimbang alami masalah mental terjejas akibat idME

BACA LAGI: Upgrade segera sistem 'sampah' IDME atau lantik golongan siswazah masukkan data pelajar

Selain itu, ada dalam kalangan pendidik mendakwa sistem pangkalan data yang digunakan sering kali lambat, tidak responsif, selain mengalami gangguan teknikal yang kerap.

Terbaharu, seorang pengguna media social, dipercayai berkerjaya sebagai guru, Fauzi Abidin meluahkan rasa kecewa selepas sistem Aplikasi Pangkalan Data Murid (APDM) milik KPM kerap mengalami gangguan.

"Apa sudah jadi KPM? Isu ini dari dahulu lagi, sepatutnya perkara ini sudah tidak boleh berlaku lagi.

"Sudah beberapa hari saya nak isi data dalam APDM, namun masih lagi gagal.

"Apabila APDM bermasalah, maka portal-portal KPM lain yang gunakan data dari APDM pun akan mengalami masalah yang sama.

"Contoh Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM), login boleh tapi bila nak cari nama murid tiba-tiba tiada dalam pangkalan data," katanya.

449035632_10226856168532436_5140435459514244620_n

Sistem APDM milik KPM kerap mengalami gangguan sekali gus menyebabkan tugas guru sering kali tergendala. — Facebook/KGM

Sementara itu, Hashimah Hashim turut meluahkan rasa kesal apabila laman sesawang Sistem Pengurusan Latihan Kementerian Pendidikan Malaysia (SPLKPM) mengalami gangguan teknikal sehingga menyukarkan tugasan memasukkan data ke dalam sistem tersebut.

"Kenapa SPLKPM lembab sangat? Nak kemas kini data pun susah.

"Saya nak kena bangun pukul 3 pagi juga ke nak buat kemaskini? Macam ini ke 'Guru Jauhari Digital, Aspirasi Negara Madani'? Lebih baik selesaikan isu ini dengan segera," luahnya.

Seorang lagi warga maya, Dean Isaac berkata, untuk mencapai aspirasi 'Guru Jauhari Digital', penting bagi KPM untuk mendengar dan memahami keperluan guru serta menyediakan infrastruktur teknologi yang dapat menyokong visi tersebut.

"Melalui langkah-langkah yang tepat, sistem pendidikan Malaysia dapat bergerak seiring dengan perkembangan teknologi dan memastikan kualiti pendidikan yang lebih baik untuk generasi masa depan," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram