[VIDEO] Pura-pura tolong sebelum ragut, polis tahan 2 suspek 'rembat' beg tangan mangsa di KESAS


  • 112
  • Rabu, 26 Jun 2024

Tangkap layar dua suspek penunggang motosikal dirakam meragut mangsa di Lebuhraya KESAS pada Selasa.

DUA suspek penunggang motosikal ditahan polis susulan cubaan meragut barangan berharga milik seorang wanita di Lebuhraya Shah Alam (KESAS) pada Selasa.

Suspek berusia 33 dan 32 tahun yang masing-masing bekerja sebagai pencuci kereta dan pembantu kedai makan itu ditahan pukul 1.30 hingga 3 pagi Selasa di sekitar Klang, Selangor.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa berumur 58 tahun pukul 8.35 pagi Selasa yang mendakwa diragut semasa berhenti di tepi jalan ekoran kereta dinaikinya mengalami kerosakan sekitar pukul 7 pagi.

BACA LAGI: [VIDEO] Acah nak beli air kelapa, 3 mat motor ragut rantai emas peniaga di Bukit Mertajam

BACA LAGI: [VIDEO] Remaja sempat ‘selfie’ sambil buli rakan sebaya, polis Betong buka kertas siasatan bawah Seksyen 323/506 KK

"Menurut mangsa, kedua-dua suspek pada mulanya berhenti bersebelahan keretanya sambil berpura-pura bertanyakan sesuatu dan menawarkan diri untuk membantu mangsa sebelum secara tiba-tiba seorang daripada suspek bertindak mengambil dompet yang berada di dalam beg silang yang dipegang mangsa.

"Mangsa kemudiannya bertindak menangkap tangan suspek yang memboceng motosikal, tetapi tindakan tersebut menyebabkannya terseret di atas jalan raya hingga cedera," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Mohd Iqbal berkata, kejadian itu dirakamkan menerusi kamera dashcam salah seorang pengguna jalan raya yang secara kebetulan melalui laluan tersebut.

Bertindak atas maklumat, polis kemudiannya telah berjaya menangkap dua lelaki tersebut dan menemukan semula barangan yang diragut iaitu kad bank serta lesen memandu kepunyaan mangsa termasuk motosikal yang digunakan semasa kejadian.

Siasatan awal mendapati, kedua-dua suspek mempunyai tujuh rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah, selain mereka juga didapati positif dadah jenis methamphetamine setelah ujian saringan air kencing dilakukan.

Kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bermula Rabu dan kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua puluh tahun dan denda atau sebat jika disabit kesalahan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram