PERINCIAN kadar baharu kenaikan gaji bagi penjawat awam akan diumumkan sebelum pembentangan Bajet 2025 yang dijadualkan pada Oktober ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Jelasnya, sudah lama tiada penyelarasan kenaikan gaji diberikan kepada golongan berkenaan.
"Kita lihat umpamanya, sudah sekian lama tidak ada satu kenaikan yang bermakna dalam keadaan kita bagi tekanan lebih kuat sekarang, kerja lebih kuat, pemantauan lebih kuat dan penguatkuasa termasuk SPRM lebih hebat, terjah ke kawasan-kawasan dan jabatan-jabatan.
BACA LAGI: Gaji penjawat awam patut naik ikut KPI, elak sikap 'malas' berlarutan — Pakar
"Jadi, kalau semua perkara itu dan kita harapkan mereka bekerja lebih kuat, sudah berbelas tahun tidak ada kajian dan ganjaran yang adil.
"Sebab itu saya semalam (Selasa) di Parlimen apabila ditegur, saya tegaskan saya tidak bertolak ansur kerana tanggungjawab kita untuk memberikan apa yang mampu dan munasabah kepada penjawat awam.
"Insya-ALLAH saya akan umumkan sebelum bajet atau belanjawan tahun ini," katanya dalam ucapan pada majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2023 di Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya pada Khamis.
Untuk rekod, pelarasan gaji penjawat awam akan membabitkan peruntukan mencecah lebih RM10 bilion berikutan jumlah kenaikan yang besar dan terbaik dalam sejarah negara.
Melalui pelarasan tersebut, pendapatan minimum penjawat awam merangkumi gaji dan elaun tetap disasarkan akan melebihi RM2,000 sebulan. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram