[VIDEO] Nenek temui ajal, cucu cedera kereta terbabas masuk parit di Sungai Petani


  • 112
  • Rabu, 26 Jun 2024

Kereta dinaiki mangsa terbabas masuk ke dalam longkang selepas terlibat kemalangan bersama sebuah kenderaan lain di Simpang Tiga N-City, Jalan Bakar Arang, Sungai Petani, Kedah pada Selasa. — PDRM

SEORANG wanita warga emas apabila kereta yang dinaiki bersama cucunya terbabas masuk ke dalam parit selepas terlibat dalam satu kemalangan bersama sebuah kenderaan lain di Simpang Tiga N-City, Jalan Bakar Arang, Sungai Petani, Kedah pada Selasa.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang itu, mangsa, Lam Koi Lan, 73, meninggal dunia di tempat kejadian, manakala cucunya, Teh Chia Yin, 18, cedera di bahagian tangan.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, kemalangan tersebut melibatkan dua kereta iaitu Perodua Kancil dipandu mangsa dan sebuah Mini Cooper dipandu seorang lelaki berusia 23 tahun.

BACA LAGI: BN siap sedia bertaruh 2 PRK DUN di DUN Kelantan, Selangor

BACA LAGI: Tak logik kalau ada negeri di Malaysia dakwa tidak pernah kena jajah — Pakar sejarah

“Siasatan awal kemalangan dipercayai berlaku ketika mangsa hendak keluar dari simpang jalan sebelah kiri. Mini Cooper tersebut sedang bergerak lurus, manakala kereta mangsa pula keluar dari simpang sebelah kiri.

“Kereta dipandu mangsa secara tiba-tiba keluar dari simpang sebelah kiri menyebabkan pemandu Mini Cooper tidak sempat mengelak dan terus melanggar sebelah kanan kereta mangsa menyebabkan kereta itu hilang kawalan dan terbabas ke dalam longkang di bahu jalan,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Wan Azharuddin, ketiga-tiga mangsa terlibat menetap di Taman Keladi, Sungai Petani.

Beliau memaklumkan mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk rawatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram