SATU kejadian tanah runtuh dilaporkan berlaku di kaki Gunung Kinabalu dekat Mesilau, Kundasang, Sabah pada pagi Isnin.
Video mengenai kejadian tersebut tular selepas ia dikongsikan beberapa pengguna media sosial.
Berdasarkan klip itu, insiden tanah runtuh terbabit boleh dilihat di kawasan perkampungan yang terletak beberapa kilometer dari lokasi. Rakaman tersebut juga menyaksikan penduduk didengar agak panik risau dengan situasi yang berlaku.
BACA LAGI: BN siap sedia bertaruh 2 PRK DUN di DUN Kelantan, Selangor
BACA LAGI: Tak logik kalau ada negeri di Malaysia dakwa tidak pernah kena jajah — Pakar sejarah
Dalam pada itu, kejadian tanah runtuh berkenaan turut menyebabkan aliran air Sungai Mesilau yang mengalir ke Sungai Liwagu di Ranau bertukar menjadi berlumpur.
Difahamkan, insiden yang berlaku itu hampir menyerupai kejadian banjir lumpur selepas gempa bumi berskala 5.9 skala Richter berpusat di Gunung Kinabalu pada Jun 2015.
Kejadian itu menyebabkan aliran air Sungai Mesilau yang mengalir ke Sungai Liwagu di Ranau bertukar menjadi berlumpur.
Memetik laporan INFO X, iaitu laman berita berpangkalan di Sabah, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, Ridwan Mohd Taib mengesahkan menerima maklumat daripada rakaman video yang tular di media sosial pada pagi Isnin.
“Pemantauan segera sudah dijalankan berhampiran runtuhan bagi memastikan masyarakat di kawasan berhampiran selamat.
“Pemantauan turut dilakukan bersama dengan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM),” katanya.
Menurutnya, kejadian runtuhan itu tidak membabitkan kerosakan harta benda.
“Bagaimanapun anggota masih menjalankan pemeriksaan berhampiran lokasi runtuhan,” katanya.
Dalam pada itu, The Star melaporkan, hujan lebat dalam tempoh 48 jam lalu dipercayai menjadi punca kepada berlakunya kejadian tersebut.
Insiden pertama runtuhan itu difahamkan berlaku kira-kira pada pukul 1.20 pagi, manakala banjir lumpur di sebelah gunung itu berlaku pada pukul 5 pagi.
Pengarah Taman Sabah, Dr Maklarin Lakim berkata, pihaknya tidak menerima sebarang laporan kecederaan dalam kejadian itu.
“Ia jauh dari laluan puncak dan tidak melibatkan sebarang kemalangan yang membabitkan orang ramai atau kerosakan infrastruktur,” katanya.
Bagaimanapun, difahamkan pihak berkuasa daerah Ranau sedang memantau runtuhan tanah yang jatuh ke dalam sungai Mesilau dan mengalir ke sungai Liwagu di mana terletaknya loji pengambilan dan rawatan air daerah itu.
“Kami masih memantau perkara itu di Ulu Sungai Mesilau dan kesannya terhadap aliran sungai.
"Keadaan terkawal," tambah Maklarin. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram