KENAIKAN gaji lebih 13 peratus penjawat awam baru-baru ini kembali menjadi bualan hangat warganet di laman sosial.
Mendakwa ia sebagai situasi tidak adil ekoran sikap malas dan 'curi tulang' segelintir kakitangan kerajaan, sekali gus telah mencetuskan pertikaian berhubung prestasi mereka ketika tempoh bekerja.
Stigma itu dikuatkan lagi dengan hantaran tular di laman media yang merungkai sisi negatif golongan terbabit.
BACA LAGI: Berbeza dengan gaji minimum, ini 4 fakta perlu diketahui mengenai Dasar Gaji Progresif
Jelas seorang pengguna laman X, tiada tindakan diambil pihak berkuasa terhadap prestasi dipamerkan namun, kenaikan tahunan masih menjadi kewajipan dan disifatkan satu situasi tidak adil buat pekerja swasta.
Hantaran tular di laman sosial yang mengkritik kakitangan kerajaan.
Mengulas lanjut hal itu, Ahli Ekonomi Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan (EU-ERA), Muhamad Zharif Luqman Hashim berkata, isu itu tidak boleh dipukul rata terhadap semua pekerja sektor kerajaan dengan individu di sektor swasta juga tidak terlepas daripada sebarang kes curi tulang di pejabat.
Namun, beliau akur dengan dasar kenaikan gaji ditetapkan kerajaan ketika ini yang disifatkan kurang relevan untuk dikekalkan pada masa akan datang ekoran prestasi di tempat kerja.
"Dasar kenaikan gaji secara keseluruhan ditetapkan kerajaan ketika ini perlu diubah kepada format berpandukan Petunjuk Prestasi Utama atau KPI.
"Sama seperti di sektor swasta, sektor awam juga perlu dinilai berdasarkan prestasi KPI agar sikap ambil mudah ataupun sambil lewa sesetengah individu mampu dibendung.
"Ia sekali gus mampu meningkatkan mutu daya saing dan prestasi sesama pekerja meskipun kebanyakan mereka di sektor awam sudah pun berstatus pekerja tetap," katanya kepada Majoriti.
Ahli Ekonomi (EU-ERA), Muhammad Zharif Luqman Hashim.
Tambahnya, pendekatan itu dilihat sebagai satu langkah terbaik dalam menyelesaikan isu prestasi di sektor kerajaan seperti mana yang tular di laman sosial kebelakangan ini.
Isu berkenaan menurutnya sudah lama menjadi bualan masayarakat namun apa yang menjadi permasalahan adalah, kenaikan gaji tahunan serta keistimewaan diberikan terhadap individu dalam sektor tersebut.
"Kita memang tak boleh nak tarik semua kelebihan diberikan kepada pekerja kerajaan tetapi mungkin dasar kenaikan gaji mereka boleh ditambah baik.
"Kalau nak diikutkan, penjawat awam tidak semewah sektor swasta dari segi gaji tetapi, masih menjadi keutamaan kerajaan dengan terbaharu Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan kenaikan paling tertinggi dalam sejarah negara iaitu sebanyak 13 peratus.
"Jika tiada penambahbaikan dilakukan, maka isu sama akan terus berulang dan generasi akan datang tidak akan berubah, hanya kekal dalam tampuk sama dan tiada perubahan dari segi prestasi bekerja," tambahnya.
Untuk rekod, pelarasan gaji penjawat awam akan membabitkan peruntukan mencecah lebih RM10 bilion berikutan jumlah kenaikan yang besar dan terbaik dalam sejarah negara.
Melalui pelarasan tersebut, pendapatan minimum penjawat awam merangkumi gaji dan elaun tetap disasarkan akan melebihi RM2,000 sebulan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram