Mohd Azizi mohon perintah injuksi halang PRK DUN Nenggiri


  • Politik
  • Rabu, 26 Jun 2024

Mohd Azizi merupakan salah seorang daripada tujuh wakil Rakyat BERSATU yang dilaporkan terhenti keahlian susulan keputusannya menyatakan sokongan kepada Anwar.

MOHD Azizi Abu Naim memohon perintah injunksi bagi menghalang pilihan raya kecil daripada diadakan bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri di Kelantan.

Menurut laporan Malaysiakini, permohonannya untuk mencabar pemecatan beliau daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dijadualkan didengar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Khamis.

Mohd Azizi memohon perintah untuk mengekalkan status quo semua pihak terbabit sementara menunggu pelupusan saman pemulanya bukan sahaja terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya dan Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah, tetapi juga dua pemimpin tertinggi Bersatu iaitu Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Setiausaha Agung, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

BACA LAGI: Johor bukan rakan kongsi istimewa seperti Sabah dan Sarawak — Pakar Perlembagaan

BACA LAGI: Rafizi, Isham individu tepat berdebat, selesai polemik rasionalisasi subsidi bahan api — Penganalisis

Beliau memohon pengisytiharan mahkamah bahawa artikel 10.5 dibaca bersama 10.4 dan 10.6 perlembagaan parti politik itu melanggar hak perlembagaannya untuk kesaksamaan di sisi undang-undang dan kebebasan berpersatuan.

2762685

Mohd Azizi merupakan salah seorang daripada tujuh wakil Rakyat BERSATU yang dilaporkan terhenti keahlian susulan keputusannya menyatakan sokongan kepada Anwar

Pada 19 Jun lalu, Mohd Amar mengumumkan kerusi DUN Nenggiri yang disandang oleh Mohd Azizi disahkan kosong.

Ketetapan itu diumumkan dalam satu sidang media di pejabatnya, di Kota Bharu, Kelantan.

Keputusan tersebut dibuat selepas DUN Kelantan menerima notis bertulis daripada Mohd Azizi yang merupakan ADUN Nenggiri pada 13 Jun dan BERSATU pada 12 Jun lalu, memaklumkan mengenai kehilangan keahlian BERSATU pemimpin itu dan seterusnya berlaku kekosongan luar jangka kerusi berkenaan.

Mohd Azizi yang juga Ahli Parlimen Gua Musang merupakan salah seorang daripada tujuh wakil Rakyat BERSATU yang dilaporkan terhenti keahlian susulan keputusannya menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Proses terhenti keahlian itu berlaku selepas mereka gagal memberi jawapan berkaitan surat arahan bertulis Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti untuk menzahirkan ikrar taat setia kepada parti terbabit. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram