Waris mohon bantuan cari rakaman 'dashcam' lepas bapa maut, adik cedera motor bergesel treler di Tapah


  • 112
  • Jumaat, 21 Jun 2024

Kemalangan itu berlaku di Kilometer 56 Jalan Ipoh-Kuala Lumpur berhadapan hospital Tapah, di Ipoh, Perak, pada pagi Jumaat. — Facebook

SEORANG warga emas berusia 61 tahun maut selepas motosikal ditunggang bergesel dengan sebuah treler dalam kemalangan di Kilometer 56 Jalan Ipoh-Kuala Lumpur berhadapan hospital Tapah, di Ipoh, Perak, pada Jumaat.

Dalam kejadian tersebut, mangsa dilaporkan turut membonceng seorang kanak-kanak berusia lapan tahun dipercayai anaknya.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Mohd Naim Asnawi berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu sekitar pukul 7.10 pagi.

BACA LAGI: Inilah masanya, Umno berpeluang rampas semula DUN Nenggiri

BACA LAGI: Mohd Azizi boleh mohon tangguh PRK DUN Nenggiri, tunggu keputusan mahkamah

"Siasatan awal mendapati sebuah treler telah bergesel dengan motosikal yang ditunggang mangsa bersama seorang kanak-kanak.

"Akibat kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan parah dan maut di tempat kejadian, manakala pembonceng turut mengalami kecederaan dan dibawa ke Hospital Tapah sebelum dirujuk ke Hospital Teluk Intan untuk rawatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan.

Kemalangan itu berlaku di Kilometer 56 Jalan Ipoh-Kuala Lumpur berhadapan hospital Tapah, di Ipoh, Perak, pada pagi Jumaat. — Facebook

Mohd Naim berkata kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Orang ramai yang menyaksikan kejadian tersebut tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Mohd Faizan Ahmad @ Mohammed Razikin di talian 013-2087919," katanya.

Dalam pada itu, seorang pengguna Facebook dipercayai anak kepada mangsa turut meminta orang ramai yang mempunyai rakaman di tempat kejadian supaya tampil bagi membantu siasatan kes kemalangan melibatkan bapanya itu.

"Saya anak kepada mangsa. Saya nak minta tolong kepada sesiapa yang ada dashcam atau info berkaitan boleh mesej saya tak," tulis Julia Alvilla. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram