PRK 8 kerusi BERSATU penentu sokongan pengundi Melayu, kata penganalisis


  • Politik
  • Selasa, 25 Jun 2024

Kesemua kawasan Parlimen dan DUN yang perlu dikosongkan merupakan majoriti pengundi Melayu.

ISU mengenai pengosongan kerusi tujuh wakil rakyat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang berpaling tadah mula menunjukkan perkembangan baru pada minggu ini.

Perkembangan tersebut bermula selepas BERSATU pada 12 Jun lalu mengumumkan pucuk pimpinan parti sudah menyerahkan notis terhenti secara serta-merta keahlian kepada enam wakil rakyatnya yang didakwa melakukan ketidakpatuhan mengikut Fasal 10.4 Perlembagaan parti.

Ia selepas kesemua wakil rakyat terbabit yang terdiri daripada enam ahli Parlimen dan seorang ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) gagal untuk mematuhi arahan parti menunjukkan taat setia menerusi surat arahan yang dikeluarkan.

BACA LAGI: BN siap sedia bertaruh 2 PRK DUN di DUN Kelantan, Selangor

BACA LAGI: Tak logik kalau ada negeri di Malaysia dakwa tidak pernah kena jajah — Pakar sejarah

Susulan daripada itu, DUN Kelantan menjadi yang pertama mengisytiharkan kekosongan kerusi bagi DUN Nenggiri yang disandang oleh salah seorang wakil rakyat daripada kumpulan terbabit iaitu Mohd Azizi Abu Naim.

Dalam pada itu, BERSATU pada Khamis turut mengesahkan bahawa parti itu sudah mengemukakan kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul meminta supaya enam kerusi Parlimen yang sebelum ini menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dikosongkan.

Mereka terdiri daripada Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul yang merupakan Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Zahari Kechik (Jeli), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang) dan termasuk Mohd Azizi (Gua Musang).

Selain enam individu terbabit, seorang lagi wakil rakyat BERSATU yang menjadi pertikaian ialah ADUN Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari yang sebelum ini mengumumkan menyokong kepimpinan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang merupakan pemimpin Pakatan Harapan (PH),

— FAIHAN GHANI/The Star

Umno kini merupakan pilihan ketiga pengundi Melayu di belakang PAS dan BERSATU.

Mengenai itu, Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Seri Azmin Ali memaklumkan pihaknya turut sudah memberikan notis mengenai pengosongan kerusi DUN Selat Kelang kepada Speaker DUN Selangor pada Jumaat.

Setakat ini, hanya Speaker DUN Kelantan yang sudah membuat keputusan dengan mengisytiharkan kekosongan di kerusi yang menjadi pertikaian dengan keputusan itu turut berpotensi dicabar di mahkamah.

Sementara itu, Speaker bagi Dewan Rakyat dan DUN Selangor pula masih belum mengeluarkan sebarang keputusan berhubung perkara tersebut.

Namun, Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul pada Isnin memaklumkan bahawa beliau akan memberi jawapan terhadap notis BERSATU berhubung kekosongan enam kerusi Ahli Parlimen dalam tempoh 21 hari.

Sekiranya kesemua pengosongan kerusi tersebut benar-benar berlaku, ia berpotensi untuk membawa kepada berlangsungnya sebanyak lapan pilihan raya kecil (PRK) terdiri daripada enam bagi kawasan Parlimen dan dua kawasan DUN.

Berbeza dengan PRK biasa, pelaksanaan PRK ini sekiranya terjadi bakal mencipta sejarah baharu dalam politik negara sebagai PRK paling banyak yang dijalankan secara serentak.

Disebabkan itu, kesannya terhadap politik juga pastinya dijangka berbeza.

Dengan mengambil kira latar belakang kesemua kerusi terbabit yang merupakan majoriti pengundi Melayu, menarik untuk melihat sejauh mana ia mampu memberikan gambaran terkini berhubung sokongan kelompok pengundi utama negara itu terhadap Kerajaan Perpaduan.

Ia khususnya melibatkan pengaruh Umno yang ketika ini diharapkan oleh Kerajaan Perpaduan untuk menarik sokongan pengundi Melayu termasuk menjelang berlangsungnya Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU) yang akan diadakan dalam tempoh kira-kira tiga tahun akan datang.

Penganalisis politik dari Universiti Malaya (UM), Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, PRK di lapan kawasan tersebut sememangnya sebagai medan untuk membuktikan sokongan pengundi Melayu terhadap gabungan kerjasama BN dan PH khususnya Umno.

Dalam hal itu, beliau turut berpandangan Umno sebagai sebahagian parti yang membentuk kerajaan semasa seharusnya memanfaatkan peluang dengan menjadikan PRK berkenaan sebagai tempat untuk mereka meningkatkan sokongan daripada pengundi Melayu.

"Berdasarkan situasi semasa, PRK ini sekiranya berlaku sememangnya akan menjadi peluang BN dan PH untuk meningkatkan jumlah kerusi majoriti Melayu mereka.

1831277

Kerjasama antara BN dan PH dalam PRN tahun lalu gagal membuahkan hasil yang berkesan. — Gambar hiasan

"Walaupun mereka mungkin tidak menang kesemuanya, tapi sekurang-kurangnya mereka boleh dapat sebahagian daripada 8 kerusi (enam Parlimen dan dua DUN) yang mungkin akan dipertandingkan itu," katanya kepada Majoriti.

Bagaimanapun, Awang Azman berkata, keputusan pada PRK itu dijangka tidak memberikan kesan besar termasuk terhadap kemungkinan terputusnya kerjasama antara BN dan PH pada PRU akan datang.

Menurut beliau, mengambil kira keadaan politik semasa negara, kerjasama antara kedua-dua gabungan itu dilihat tidak dapat dielakkan.

"Dalam situasi sekarang ini, tiada kerajaan yang dapat dibentuk tanpa pelbagai gabungan. BERSATU dan PAS pun bekerjasama. Jadi maknanya PH dan PN mahu tak mahu tetap perlu bekerjasama," jelasnya.

Pada PRU15 dan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang diadakan tahun lalu, trend pengundi Melayu dilihat beralih ke arah Perikatan Nasional (PN) yang ketika ini terdiri daripada dua parti besar iaitu BERSATU dan PAS.

Usaha parti daripada Kerajaan Perpaduan untuk melakukan kerjasama antara PH dan BN yang dibarisi Umno bagi mengekang kemaraan gelombang sokongan Melayu terhadap PN yang berlaku pada PRU15 dilihat tidak cukup berkesan.

Malah, PN juga dilihat berjaya untuk menembusi beberapa kawasan di negeri yang dikenali sebagai kubu PH pada PRN lalu termasuk dengan menafikan majoriti dua pertiga kerajaan negeri Selangor.

Awang Azman berkata, meskipun begitu, keputusan pada lapan PRK terbabit disifatkan tetap boleh memberikan kesan khususnya bentuk kerjasama yang bakal digunakan oleh kedua-dua gabungan itu termasuk dalam isu pembahagian kerusi untuk PRU16.

Turut berkongsi pandangan sama ialah Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya (UM) Dr Mohammad Tawfik Yaakub yang menjangkakan bahawa kerjasama tersebut akan berterusan sehingga PRU16.

Menurutnya, perkara itu akan terus berlaku sekiranya kedua-dua gabungan itu diterajui oleh individidu yang sama iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim di pihak PH dan Datuk Ser Dr Ahmad Zahid Hamidi bagi BN.

Pada masa sama, beliau juga menjangkakan bahawa PRU16 akan digunakan oleh kedua-dua pemimpin tersebut bagi meningkatkan semula jumlah kerusi yang dikuasai Umno di Dewan Rakyat.

"Berdasarkan kepada agihan kerusi, PH mungkin akan berikan kerusi campuran berpotensi boleh menang yang majoriti Melayu atau bukan Melayu tinggi kepada Umno dan BN. Kemudian kawasan kerusi bukan Melayu juga boleh ditukar milik diberikan kepada Umno dan BN.

"Ini untuk membolehkan Umno dan BN itu dihidupkan semula. Walaupun tak banyak, saya yakin pemberian itu akan dibuat sebagai membalas jasa Umno dan BN yang mengangkat Anwar sebagai Perdana Menteri. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram