Kapal LCS kedua siap 64.66 peratus, Khaled yakin 5 kapal diserah secara berperingkat mulai 2026


  • Primer
  • Isnin, 24 Jun 2024

Mohamed Khaled berkata, jumlah bayaran dibuat bagi pembinaan kapal LCS kedua itu adalah berdasarkan kontrak telah ditandatangani dan bukannya mengikut kemajuan setiap kapal secara individu. — Gambar hiasan

STATUS pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) kedua ketika ini sudah mencapai kemajuan 64.66 peratus, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata, jumlah bayaran dibuat bagi pembinaan kapal LCS kedua itu adalah berdasarkan kontrak telah ditandatangani dan bukannya mengikut kemajuan setiap kapal secara individu.

"Bayaran dilaksanakan mengikut kemajuan keseluruhan projek LCS sebagaimana pandangan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK).

"Selaras dengan perkara itu, kerajaan membayar RM7.15 bilion iaitu bersamaan 63.69 peratus, berbanding perancangan asal pembayaran iaitu 68.43 peratus berdasarkan kontrak mengikut kemajuan semasa perolehan LCS kelima-lima kapal secara keseluruhannya,” katanya.

BACA LAGI: BN siap sedia bertaruh 2 PRK DUN di DUN Kelantan, Selangor

BACA LAGI: Tak logik kalau ada negeri di Malaysia dakwa tidak pernah kena jajah — Pakar sejarah

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN-Tanah Merah) yang bertanya mengenai peratus terkini pembinaan kapal LCS kedua serta jumlah bayaran diselesaikan Kementerian Pertahanan kepada Lumut Naval Shipyard (LUNAS).

Mohamed Khaled berkata, status terkini bagi kapal LCS ketiga berada pada tahap 56.48 peratus, manakala LCS keempat 51.10 peratus, dan kapal LCS kelima 42.33 peratus.

Menurut beliau, kementerian menaruh keyakinan projek pembinaan lima kapal LCS itu dapat diserahkan kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengikut tempoh masa dirancangkan secara berperingkat mulai Ogos 2026.

Higher Education minister Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin delivering his speech during the appreciation and handover ceremony at Sama-Sama Hotel in Sepang on Wednesday. — IZZRAFIQ ALIAS/The Star

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Menjawab soalan tambahan Ikmal Hisham yang ingin tahu sama ada kerajaan berminat mendapatkan kapal HMAS Anzac dari Australia yang baru dilucutkan tauliah pada Mei lepas bagi penggunaan sementara TLDM, beliau berkata, kapal itu tidak bersesuaian untuk kegunaan sementara.

"Setelah diteliti TLDM merumuskan kapal dimaksudkan itu... ia tidak bersesuaian. Ia adalah berdasarkan perkara seperti isu commonality peralatan selain kos perolehan tidak menguntungkan kepada kerajaan, lebih-lebih lagi jika kita lakukan perolehan terhadap kapal HMAS Anzac.

"Proses perolehan itu dijangka mengambil masa lama, sehingga 2027 dan pada tahun itu kita sudah dibekalkan dengan dua kapal LCS. Kapal itu akan diserah kepada TLDM dan mula beroperasi dalam tahun 2027,” katanya.

Selain itu, Mohamed Khaled berkata, kerajaan baru-baru ini juga telah membuat perolehan bagi mendapatkan tiga kapal misi pesisir (LMS) dari Turkiye yang dijangka siap menjelang akhir 2027.

"Jadi lima kapal akan mula berkhidmat dengan TLDM dan oleh kerana hampir keseluruhan kapal HMAS Anzac ini menggunakan peralatan yang berbeza, maka kita membuat keputusan ia tidak sesuai dan bukan untuk kepentingan kerajaan serta rakyat Malaysia,” katanya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram