[VIDEO] Gurau tak bertempat, polis Kuching tahan 3 lelaki acu pistol tiruan


  • 112
  • Isnin, 24 Jun 2024

Tangkap layar seorang lelaki bertindak mengacu pistol tiruan ke arah pemandu Axia di kawasan parkir berhampiran Metro City, Matang, Kuching, Sarawak pada Sabtu.

TIGA lelaki ditahan polis susulan tindakannya yang mengacukan pistol ke arah seorang pemandu kereta jenis Perodua Axia di kawasan parkir berhampiran Metro City, Matang, Kuching, Sarawak.

Menurut laporan Buletin TV3, tangkapan itu dibuat susulan penularan klip video berdurasi 14 saat di laman sosial sejak Sabtu.

Kesemua suspek lelaki berusia antara 23 hingga 26 tahun itu ditahan sepasukan anggota dari Cawangan D9, Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching pukul 2.30 petang Ahad.

BACA LAGI: [VIDEO] Remaja sempat ‘selfie’ sambil buli rakan sebaya, polis Betong buka kertas siasatan bawah Seksyen 323 KK

BACA LAGI: [VIDEO] Budak 9 tahun maut dibaham buaya ketika mandi sungai di Sandakan

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, soal siasat awal mendapati tiga lelaki itu mengaku terlibat dalam video berkenaan dan mengaku rakaman itu hanya gurauan.

Bagaimanapun, hasil semakan mendapati seorang daripada mereka mempunyai satu rekod lampau membabitkan jenayah kekerasan.

Ahsmon berkata, suspek dibawa ke mahkamah pada Isnin bagi mendapatkan perintah tahanan reman untuk membantu siasatan.

"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun atau dikenakan denda tidak lebih RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

"Selain itu, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara selama tempoh tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya sekali dan juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan," katanya.

Sepucuk pistol tiruan dan kereta Axia terbabit turut dirampas polis dalam tangkapan tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram