SETELAH sekian diwar-warkan, kerajaan pada Rabu akhirnya membentangkan kertas putih cadangan bagi pelaksanaan Dasar Gaji Progresif di dalam negara.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, langkah itu merupakan sebahagian daripada strategi kerajaan untuk meningkatkan gaji penengah pekerja Malaysia.
Ketika berucap di Dewan Rakyat, beliau berkata, dasar baharu itu akan memberikan manfaat kepada kira-kira 1.05 juta pekerja.
Pada masa sama, menurut Rafizi, pelaksanaan model tersebut gaji tersebut bakal memberi nilai tambah terhadap keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebanyak RM3.3 bilion.
Berikut merupakan penjelasan Ahli Ekonomi Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan (EU-ERA), Muhamad Zharif Luqman Hashim berkenaan Dasar Gaji Progresif:
1. Perbezaan Dasar Gaji Progresif dan gaji minimum
Untuk rekod, kerajaan buat pertama kali memperkenalkan Inisiatif Gaji Minimum pada 15 Oktober 2010 ketika pembentangan Belanjawan 2011.
Secara asasnya, langkah itu dilaksanakan bagi membantu meningkatkan pendapatan pekerja di Malaysia dan seterusnya menyokong hasrat kerajaan bagi membina negara berpendapatan tinggi.
Pada awal pelaksanaannya, gaji minimum yang ditetapkan adalah sebanyak RM900 untuk Semenanjung Maalaysia dan RM800 untuk Malaysia Timur.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.
Bagaimanapun, had tersebut kemudiannya dinilai semula mengikut perkembangan semasa dengan kali terakhir ia dinaikkan adalah pada 2023 iaitu kepada RM1,500.
Muhamad Zharif berkata, pelaksanaan dasar gaji minimum secara umumnya dilakukan dengan membuat penetapan terhadap gaji lantai khususnya buat pekerja di sektor berkemahiran rendah.
Langkah itu dibuat bagi membolehkan pendapatan diberikan kepada kumpulan tersebut mampu bagi menampung kos sara hidup yang diperlukan.
Bagaimanapun, berbeza dengan pendekatan tersebut, , Muhamad Zharif berkata, kenaikan gaji pekerja berdasarkan sepenuhnya kepada peningkatan kemahiran pekerja.
"Maknanya untuk seseorang pekerja ini meningkatkan pendapatan gaji, mereka perlu menjalani program latihan untuk meningkatkan kemahiran," ujarnya.
2. Siapa bakal merasai kesan langsung Dasar Gaji Progresif
Muhamad Zharif berkata, berbanding Dasar Gaji Minimum, Dasar Gaji Progresif dilihat memberikan liputan menyeluruh terhadap kumpulan pekerja di Malaysia.
Tidak seperti dasar sedia ada, beliau berkata, langkah ini tidak tertumpu terhadap peningkatan kepada pekerja berkemahiran rendah semata-mata.
Menurutnya, ini kesan pelaksanaannya itu dilihat turut meliputi kepada pekerja separa mahir dan pekerja berkemahiran di dalam negara.
Pekerja separa mahir dijangka antara kumpulan yang mendapat manfaat daripada pelaksanaan Gaaji Dasar Progresif. — Gambar hiasan
"Secara praktikalnya, dasar gaji minimum sudah cukup baik untuk membantu pekerja berkemahiran rendah.
"Bagaimanapun, ia kurang berkesan membantu contohnya pekerja separa mahir dengan sijil SPM yang kita lihat peningkatan gajinya tidak sepadan dengan tahap pendidikan mereka.
"Malah, ada juga kumpulan pekerja separa mahir ini yang menerima gaji tidak jauh beza dengan gaji pekerja kemahiran rendah," ujarnya.
Pada masa sama, Muhamad Zharif berkata, ada beberapa sektor pekerjaan yang mana pekerja separa mahirnya mempunyai gaji lebih rendah daripada pekerja kemahiran rendah di sektor lain.
Disebabkan itu, Muhamad Zharif berkata, langkah memperkenalkan Dasar Gaji Progresif dilihat mampu menangani isu tersebut.
Pada masa sama, beliau berkata, kesan gaji
3. Bagaimana Dasar Gaji Progresif dilaksanakan
Muhamad Zharif berkata, pelaksanaan Dasar Gaji Progresif kebiasannya dilaksanakan mengikut sektor tertentu disasarkan kerajaan.
Bagaimanapun, kesesuaian tersebut bergantung kepada keperluan khusus di dalam sesebuah industri.
"Sebagai contoh, tidak semestinya semua jenis pekerjaan di dalam sesuatu sektor itu perlu melaksanakan dasar tersebut. Mungkin hanya pekerjaan tertentu sahaja boleh dilakukan.
"Jadi, pihak kerajaan perlu jalankan analisis yang komprehensif dan mendalam untuk pilih sektor mana mereka rasa mereka perlu laksanakan dasar ini," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, peningkatan kemahiran yang dilaksanakan terhadap pekerja juga perlu dibuat berdasarkan kepada keperluan semasa industri terbabit.
4. Bagaimana kerajaan tanggung pelaksanaan Dasar Gaji Progresif
Bagi memastikan dasar ini dilaksanakan, Muhamad Zharif berkata, kerajaan lazimnya akan memberikan insentif tertentu kepada syarikat yang menggajikan pekerja.
Bagaimanapun, beliau berkata, pendekatan yang digunakan adalah bergantung kepada saiz sesebuah perniagaan.
Ujarnya, bagi syarikat berskala kecil dan sederhana, cara terbaik boleh dilakukan kerajaan adalah dengan memberikan bantuan insentif subsidi gaji dan juga peningkatan kemahiran pekerja.
"Tapi subsidi ini tak boleh bagi selama-lamanya. Pihak kerajaan perlu ada garis masa sampai bila. Contohnya mungkin dalam tempoh lima tahun.
"Kemudian kita juga mungkin boleh contohi Singapura yang mengurangkan insentif diberikan itu secara berperingkat.
"Tahun pertama mungkin 50 peratus. Kemudian dikurangkan mungkin 20 peratus dalam tahun seterusnya sehinggalah syariakt tersebut tak perlu lagi bergantung kepada kerajaan," ujarnya.
Bagi berskala besar antaranya seperti syarikat berkaitan kerajaan (GLC), Muhamad Zharif berkata, insentif terbaik yang boleh digunakan kerajaan bagi menggalakkan pelaksanaan Dasar Gaji Progresif adalah dengan memberikan pengecualian cukai. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram