SEKURANG-KURANGNYA 15 orang terbunuh akibat banjir dan tanah runtuh di dua daerah Sulawesi Selatan, menurut Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia (BNPB).
Jurucakap BNPB Abdul Muhairi berkata bencana di daerah Luwu di selatan Sulawesi, mengorbankan 14 nyawa apabila hujan lebat menyebabkan paras air meningkat antara satu hingga tiga meter di 13 daerah kecil pada Jumaat.
"Data Pusat Kawalan Operasi BNPB sehingga Sabtu 6 pagi menunjukkan 1,385 keluarga terjejas dan 115 orang menginap di beberapa masjid dan rumah sanak saudara," katanya dalam kenyataan.
BACA LAGI: 'Ada bayi lahir besar melampau cecah 5kg', ketahui risiko ibu hidap diabetes semasa hamil
BACA LAGI: Michelle Yeoh beri inspirasi kepada semua — Joe Biden
Laporan kerugian awal bencana termasuk 1,970 rumah rosak, 42 rumah hanyut, 14 motosikal dan empat kereta rosak, empat jalan dan sebuah jambatan terjejas, serta kawasan sawah padi ditenggelami air.
Di daerah Sidenreng Rappang, pada hari yang sama, seorang terbunuh dan dua lagi cedera akibat banjir setelah hujan lebat berterusan menenggelamkan lima kampung di tiga daerah kecil.
"Seramai 887 keluarga terjejas. Empat keluarga menginap di pusat pemindahan," kata Abdul Muhairi, sambil menambah tujuh rumah rosak, empat rumah dihanyutkan banjir dan tiga jalan raya terjejas.
Indonesia terdedah kepada tanah runtuh semasa musim hujan, dengan masalah itu bertambah teruk di beberapa tempat akibat penebangan hutan, manakala hujan lebat yang berpanjangan menyebabkan banjir di beberapa kawasan di negara kepulauan itu.
Pada Mac, banjir kilat dan tanah runtuh di pulau Sumatera mengorbankan sekurang-kurangnya 30 orang dengan masih ramai yang hilang.
Tanah runtuh dan banjir menghanyutkan berpuluh-puluh rumah dan memusnahkan sebuah hotel berhampiran Tasik Toba di Sumatera pada Disember, mengorbankan sekurang-kurangnya dua orang.
Indonesia mengalami rentetan peristiwa cuaca melampau baru-baru ini susulan musim hujan luar biasa, yang pakar mengatakan berkemungkinan besar disebabkan oleh perubahan iklim. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram