Tanah runtuh Papua New Guinea: Tiada rakyat Malaysia terlibat, sedia salur bantuan


  • Primer
  • Sabtu, 25 Mei 2024

Penduduk berhimpun di lokasi runtuhan di wilayah Enga, Papua New Guinea. — Agensi

KEMENTERIAN Luar Negeri mengesahkan tiada rakyat Malaysia dilaporkan terlibat dalam insiden tanah runtuh di Wilayah Enga, Papua New Guinea pada Jumaat.

Wisma Putra berkata, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Port Moresby sedang memantau dengan rapi satu insiden tanah runtuh di Daerah Porgera-Paiela dan secara aktif menyelaraskan usaha bersama pihak berkuasa tempatan untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai kejadian itu.

"Malaysia bersimpati dan mengucapkan takziah kepada mangsa serta keluarga yang terkesan akibat tanah runtuh itu.

BACA LAGI: [VIDEO] Kereta tertimbus tanah runtuh, 29 penghuni Taman Wawasan Puchong diarah berpindah

BACA LAGI: [VIDEO] Mati atas katil, tanah runtuh timpa vila di Bali ragut 2 nyawa pelancong

"Rakyat Malaysia di kawasan berdekatan digesa supaya kekal berwaspada dan mematuhi panduan selain peka dengan kemas kini terkini daripada pihak berkuasa tempatan,” katanya menurut laporan Sinar Harian pada Sabtu.

Dalam pada itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia sedia membantu Papua New Guinea dalam menangani kesan tanah runtuh tersebut.

Beliau dalam catatan Facebook peribadinya pada Sabtu, turut meluahkan rasa simpati dengan mengatakan bahawa ingatannya sentiasa bersama penduduk Papua New Guinea.

“Ingatan saya sentiasa bersama dengan penduduk Papua New Guinea berikutan insiden tanah runtuh yang dahsyat yang telah meragut lebih seratus nyawa di wilayah Enga.

"Berlaku di kawasan terpencil dan bergunung-ganang pada awal pagi Jumaat, kesan kemanusiaan terhadap tragedi ini amat mencabar," katanya.

Terdahulu, tragedi di Papua New Guinea dikhuatiri telah mengorbankan ratusan mangsa akibat runtuhan tersebut.

Belum dapat dipastikan angka sebenar terkorban, namun hampir 100 buah rumah dipercayai musnah akibat kejadian itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram