[VIDEO] Didakwa tidak patuhi SOP sembelihan, gadis melambung ke udara ditanduk lembu korban


  • Tular
  • Selasa, 18 Jun 2024

Tangkap layar seorang perempuan tercampak akibat disondol seekor lembu ketika ibadah korban dilakukan di perkarangan sebuah masjid pada Isnin.

SEORANG gadis dipercayai tercedera akibat disondol seekor lembu ketika melakukan ibadah korban pada Isnin.

Kejadian dikatakan berlaku selepas lembu itu terlepas daripada ikatan dan meronta sehingga mengakibatkan beberapa petugas serta penduduk di situ lari bertempiaran.

Gagal mengelak, individu berkenaan kemudiannya tercampak dan terkulai akibat disondol lembu tersebut.

BACA LAGI: Hukum guna wang zakat untuk ibadah korban

BACA LAGI: Utamakan penduduk tempatan, mufti tegur cara laksana ibadah korban

Kejadian itu kemudiannya tular di laman media dan meraih kecaman ekoran pihak penganjur masjid didakwa tidak mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang sepatutnya ketika melaksanakan ibadah terbabit.

Berdasarkan garis panduan penyembelihan ternakan korban oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia, ternakan korban yang sedang menunggu giliran perlu diasingkan bagi mengelakkan ia melihat ternakan lain yang sedang disembelih.

Jelasnya, perkara itu bertujuan bagi menjaga kebajikan haiwan mengikut pandangan Islam dengan ternakan hendaklah dilapah di tempat yang bersih dan bersesuaian setelah ia mati.

Malah, pisau yang digunakan untuk penyembelihan hendaklah tajam dan tidak boleh diasah di hadapan ternakan yang hendak disembelih bagi menjaga kebajikan haiwan tersebut.

Namun, sehingga kini masih belum ada sebarang keterangan lanjut daripada pihak penganjur masjid dan lokasi kejadian juga tidak dinyatakan setakat ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram