Polis patahkan cubaan ancam Agong dan PM, 8 suspek ditahan


  • Primer
  • Isnin, 24 Jun 2024

Saifuddin berkata, kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang merupakan sebahagian daripada atau yang menyokong ideologi ekstremis dan radikal.

POLIS berjaya mematahkan kemungkinan ancaman terhadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Perdana Menteri selepas menahan lapan individu yang disyaki mempunyai kaitan dengan ideologi ekstremis.

Menerusi sidang media di Putrajaya pada Isnin, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kesemua suspek ditahan dalam operasi pada Sabtu dan Ahad.

“Penangkapan enam lelaki dan dua wanita itu kerana disyaki mempunyai kaitan dengan Daesh (IS), dan merupakan tangkapan susulan daripada operasi sebelum ini yang dijalankan pada 15, 17 dan 30 Mei lalu.

“Siasatan awal juga menunjukkan wujudnya ancaman terhadap Seri Paduka, Perdana Menteri, VIP dan pucuk pimpinan polis,” katanya sambil menambah tindakan keselamatan susulan akan diambil mengikut prosedur operasi standard.

BACA LAGI: BN siap sedia bertaruh 2 PRK DUN di DUN Kelantan, Selangor

BACA LAGI: Tak logik kalau ada negeri di Malaysia dakwa tidak pernah kena jajah — Pakar sejarah

Siasatan sedang dijalankan untuk menentukan kaitan antara suspek terbabit yang menurut Saifuddin "mempunyai ideologi yang sama".

Beliau berkata, suspek terdiri daripada pelbagai latar belakang pekerjaan dan status ekonomi.

“Ini termasuk suri rumah, pesara dan profesional,” katanya.

2599988

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim

Beliau menambah kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang merupakan sebahagian daripada atau yang menyokong ideologi ekstremis dan radikal.

“Pihak berkuasa tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan penguatkuasaan paling ketat yang ada terhadap mereka ini,” katanya.

Saifuddin turut memberi jaminan bahawa negara masih berada dalam keadaan aman dan orang ramai tidak perlu bimbang dengan tahap keselamatan dan ketenteraman awam di negara ini.

“Ini disokong oleh kepakaran dan kepantasan polis dalam membanteras ancaman ekstremis, radikal dan ganas pada peringkat awal, yang juga merupakan manifestasi kesiapsiagaan dan kecekapan pasukan dalam menghadapi sebarang ancaman sepanjang masa,” katanya. — The Star/JUSTIN ZACK

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram