Sultan Ibrahim ditabal Agong Ke-17, ini 3 fakta menarik mengenai Seri Paduka Baginda


  • Primer
  • Rabu, 31 Jan 2024

Sultan Ibrahim ketika istiadat mengangkat sumpah jawatan dan menandatangani surat cara memegang jawatan yang diadakan di Istana Negara, pada Rabu.

SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar ditabalkan secara rasmi sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada Rabu dalam istiadat yang berlangsung penuh tradisi dan adat Raja-Raja Melayu.

Istiadat gilang-gemilang yang mengangkat kedaulatan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Tertinggi Negara itu bermula kira-kira 10.45 pagi sebaik Seri Paduka Baginda dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berangkat masuk ke Balairung Seri, Istana Negara bagi memulakan istiadat.

Sebelum itu, Istiadat Keberangkatan Tiba Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong bermula di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia Subang, Selangor kira-kira pukul 9.45 pagi sebelum Sultan Ibrahim berangkat ke Istana Negara.

Ketibaan Sultan yang lengkap berpakaian rasmi Yang di-Pertuan Agong dan Raja Zarith menarik perhatian seluruh jemputan yang mengiringi langkah kedua-dua pasangan diraja itu untuk bersemayam di singgahsana.

Istiadat mengangkat sumpah jawatan dan menandatangani surat cara memegang jawatan itu diadakan pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja Kali Ke-264 (Khas) di Balairung Seri (bilik takhta), Istana Negara.

Di hadapan Raja-Raja Melayu yang lain, kerabat Diraja dan pembesar-pembesar, Sultan Ibrahim menandatangani surat cara pengisytiharan jawatan dengan kandungannya dibacakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pada istiadat itu, Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah, turut mengangkat sumpah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh yang sama.

Sultan Ibrahim dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-263 (Khas) pada Oktober tahun lalu bagi menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dari Pahang.

photo1706666372

Sultan Ibrahim ketika berangkat tiba di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia SubangM Selangor kira-kira pukul 9.45 pagi Rabu sebelum berangkat ke Istana Negara.

BACA LAGI: Sultan Johor dipilih jadi Yang di-Pertuan Agong ke-17

Dilahirkan pada 22 November 1958, di Hospital Sultanah Aminah, Johor Baru, Sultan Ibrahim dimasyhurkan sebagai Sultan Johor pada 23 Januari 2010, berikutan kemangkatan Sultan Iskandar, dengan pertabalan rasmi berlangsung pada 23 Mac 2015.

Sultan berwajah serius berjiwa rakyat

Di sebalik raut wajahnya yang serius, Seri Paduka Baginda dikenali sebagai pemerintah yang cukup mesra dan berjiwa rakyat khususnya dalam kalangan rakyat di Johor.

Perkara itu dapat dirasai oleh rakyat Johor terutamanya menerusi siri Kembara Mahkota Johor yang menyaksikan Sultan Ibrahim menjelajah ke seluruh negeri bagi bertemu rakyat.

Seri Paduka Baginda turut mempunyai populariti yang tersendiri di sosial media.

Ini terbukti melalui jumlah pengikut yang dimiliki Seri Paduka Baginda di Facebook yang ketika ini mencecah lebih sejuta pengikut.

Miliki hobi unik

Malah, melalui perkongsian di sosial medianya, Sultan Ibrahim juga tidak kekok untuk berkongsikan pelbagai aktiviti harian yang dijalani.

2356774

Sultan Ibrahim ketika berkenan memandu kereta api sewaan khas dari KTMB JB Sentral ke Stesen KTMB Kuala Lumpur. — Facebook/SultanIbrahimSultanIskandar

Ia termasuk pelbagai hobi unik yang dimilikinya antara lain meliputi menyimpan koleksi tongkat kayu dan kegemarannya untuk memasak ketika waktu terluang.

Pada masa sama, di sebalik Sultan Ibrahim juga pernah menarik perhatian dengan menu ringkas kegemarannya ketika bersarapan iaitu hidangan roti canai kari kambing dan ayam serta minuman halia 'o' ais.

Sementara itu, Seri Paduka Baginda juga merupakan Sultan pertama di Malaysia yang memiliki Lesen Memandu Lokomotif Berkuasa tinggi.

Perolehan lesen tersebut tercipta selepas Sultan Ibrahim menyempurnakan prosedur ‘turn table' bagi memusingkan lokomotif seberat 86 tan dalam tempoh 10 minit di Stesen Gemas Negeri Sembilan.

Dengan lesen tersebut, Sultan Ibrahim turut pernah beberapa kali melakukan perjalanan dengan memandu kereta api dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur.

Pengalaman luas dalam pentadbiran dan ketenteraan

Dari segi pentadbiran pula, Seri Paduka Baginda sememangnya mempunyai pengalam meluas termasuk pernah berkhidmat bersama pentadbiran Kerajaan Negeri Johor.

2356775

Sultan Ibrahim dilantik sebagai platun komander ketika menjalani latihan ketenteraan di Pusat Latihan Tentera Darat di Kota Tinggi. — Facebook/SultanIbrahimSultanIskandar

BACA LAGI: Pecah rekod dan gemar makanan 'sempoi' antara 5 fakta menarik Sultan Ibrahim

Pendedahan itu membolehkannya mempelajari selok-belok pengurusan dan pentadbiran negeri.

Dalam tempoh tersebut, Sultan Ibrahim ditempatkan antaranya di Pejabat Setiausaha Kerajaan, Pejabat Perbendaharaan, Pejabat Tanah, Jabatan Perancang Bandar dan Desa, Jabatan Perhutanan dan Jabatan Pertanian.

Penglibatan Seri Paduka Baginda dalam latihan ketenteraan juga bukan calang-calang.

Menurut portal rasmi Kerajaan Negeri Johor, baginda dilantik sebagai platun komander ketika menjalani latihan ketenteraan di Pusat Latihan Tentera Darat di Kota Tinggi.

Selepas daripada itu, Sultan Ibrahim turut menerima jemputan khas untuk mengambil bahagian dalam latihan ketenteraan di untuk pegawai muda di Fort Benning, Georgia, Amerika Syarikat (AS).

Sultan Ibrahim turut ditauliahkan sebagai anggota pasukan SEAL (tentera laut dan darat).

Seri Paduka Bagidan turut menerima beberapa tauliah ketenteraan antaranya sebagai anggota pasukan SEAL (tentera laut dan darat) dan ahli kehormat Komando Pasukan Khusus (KOPASSUS) di Indonesia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram