KERAJAAN sudah membuat keputusan mengenai individu yang bakal menjadi Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) baharu, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, calon bakal menggantikan Tan Sri Abdul Ghani Salleh sebagai pengerusi SPR akan dilantik mengikut proses yang sewajarnya.
"Kami akan mengikuti proses dan memerlukan perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk pelantikan itu," kata Anwar semasa sidang media selepas menghadiri majlis di Berjaya Times Square Kuala Lumpur pada Ahad.
BACA LAGI: Usia 60 tahun tak jadi penghalang, anak Sarikei jadi orang Sarawak pertama tawan Everest
BACA LAGI: Kerajaan tidak akan perkenal cukai baharu — Anwar
Abdul Ghani bersara sebagai pengerusi SPR pada 9 Mei, selepas empat tahun menerajui suruhanjaya itu sejak Ogos 2020.
Pada 25 Mei lalu, Timbalan Pengerusi SPR, Azmi Sharom berkata, proses pelantikan pesuruhjaya dan pegawai SPR perlu telus kerana proses semasa diselubungi kerahsiaan dan amalan yang tidak jelas.
Anwar berkata, kebimbangan disuarakan Azmi itu adalah sesuatu yang boleh difahami.
"Kami tidak berunding dengan timbalan pengerusi SPR (mengenai pelantikan). Kami perlu melalui proses yang sewajarnya," tambah Anwar.
Abdul Ghani (dua dari kanan) melepaskan jawatan sebagai Pengerusi SPR selepas perlu bersara wajib pada Mei.
Badan pemantau pilihan raya Bersih sebelum ini menggesa Putrajaya menubuhkan jawatankuasa Parlimen bagi merombak proses pelantikan jawatan ketua SPR.
Di bawah Perkara 114 Perlembagaan Persekutuan, pelantikan ahli SPR termasuk pengerusinya memerlukan perkenan Raja selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.
Dalam pada itu, Anwar juga berkata, Putrajaya akan membincangkan mengenai calon Speaker Dewan Negara bersama kepimpinan Kerajaan Perpaduan.
“Kita akan bincang perkara ini dengan parti dan kepimpinan Sarawak apabila saya berada di Sarawak esok (Isnin),” tambahnya.
Speaker Dewan Negara, Datuk Mutang Tagal, 70, menghembuskan nafas terakhir pada 10 Mei lalu di sebuah hospital Kuala Lumpur. — The Star/TARRENCE TAN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram