Kejar komisen tinggi, aktivis Wan Cai dakwa kakitangan forensik turut terlibat kartel pengurusan jenazah di Kuala Krai


  • Massa
  • Khamis, 23 Feb 2023

Wan Cai berkongsi gambar resit dan individu yang mengenakan bayaran tinggi sebanyak RM2,000 untuk menguruskan jenazah seorang pesakit Covid-19 tahun lalu. — Facebook

LICIK. Itulah perkataan yang boleh ditujukan kepada individu atau kumpulan yang menjalankan sindiket kartel pengurusan jenazah selama ini.

Hal ini kerana, kebanyakan sindiket tersebut menjalankan operasi secara senyap-senyap tanpa dapat dihidu oleh orang lain atau keluarga jenazah.

Malah pihak yang mengambil kesempatan atas penderitaan orang lain itu seolah-olah tidak sensitif dengan kematian individu lain, apabila tergamak mengambil untung berlipat ganda ketika pengurusan jenazah.

Lebih menyakitkan hati lagi, sindiket itu pula dikaitkan dengan kakitangan hospital sendiri yang menjadi 'ulat' kartel pengurusan jenazah ekoran mengejar duit komisen yang bakal diberikan sindiket terbabit.

Difahamkan, mereka disyaki meminta dan menerima suapan daripada ejen tertentu bagi setiap kes pengurusan jenazah.

Pengasas Unit Khas Van Jenazah (UKVJ) yang dikenali sebagai Wan Cai mendakwa, kartel jenazah selalunya bermula dengan kakitangan hospital itu sendiri terutamanya di bahagian forensik.

"Selalu masalah bermula dengan kakitangan forensik. Kes yang saya viralkan itu sebenarnya terjadi di Kuala Krai, Kelantan.

"Team UKVJ di sana sering menghadapi masalah seperti ini dan mereka (kakitangan forensik) sengaja lambat untuk keluarkan jenazah.

332346724_3344524329095774_1189275498563714409_n

Laporan yang dibuat oleh pihak UKVJ kepada SPRM dan BPA. — Facebook

"Jika ikutkan urusan mandikan jenazah sepatutnya pihak sukarelawan UKVJ yang mandikan tetapi sudah ada orang mandikan.

"Apabila diselidik rupanya mereka guna khidmat ejen mereka. Waris pula ingat percuma tetapi kena bayar mahal," katanya kepada Majoriti.

Sebelum ini, Wan Cai memuat naik status aduan mengenai waris terpaksa membayar RM1,000 untuk proses memandi dan mengkafankan jenazah di Kuala Krai di halaman Facebook peribadinya.

Menurut aktivis tersebut, pihaknya sudah membuat laporan kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Biro Pengaduan Awam (BPA) berhubung isu berkenaan.

Wan Cai turut mendakwa kegiatan tersebut didalangi oleh kakitangan hospital.

Sebelum ini, Majoriti melaporkan insiden yang sama pernah berlaku di Sabah.

Menurut Pengerusi Persatuan Amal Jariah Sabah, Masrul Guding berkata, pihak hospital hanya menggunakan ejen untuk menguruskan jenazah orang Islam.

Katanya, pihaknya hanya menguruskan jenazah itu secara percuma tanpa mengenakan satu sen pun bayaran berbanding ejen.

"Jadi orang ramai tidak tahu yang sebenarnya ada pengurusan yang boleh dibuat secara percuma macam kami, jadi mereka yang terdesak terpaksa dikenakan bayaran sehingga mencecah RM700 termasuk penghantaran," katanya.

Belum ada sebarang kenyataan rasmi daripada Kementerian Kesihatan berhubung dakwaan itu setakat ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram