SPR tubuh 2 pasukan penguat kuasa kempen PRK Sungai Bakap


  • Politik
  • Sabtu, 22 Jun 2024

PRK DUN Sungai Bakap bakal menyaksikan pertembungan antara Abidin (kiri) dan Joohari (kanan) pada 6 Julai depan.

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) menubuhkan dua Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya bagi memantau aktiviti calon yang bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap.

Timbalan Pengerusi SPR, Dr Azmi Sharom berkata, semua kaedah dan bahan kempen dibenarkan selagi tidak mengembangkan perasaan jahat, tidak puas hati, permusuhan atau berunsur perkauman dan menyentuh sensitiviti keagamaan termasuk isu 3R (kaum, agama dan institusi diraja) serta tidak melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5) dan undang-undang berkaitan.

"SPR berharap aktiviti berkempen berjalan dalam suasana harmoni dan mengikut undang-undang serta peraturan yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

BACA LAGI: Calon PN-PH bertembung di Sungai Bakap

BACA LAGI: 'Saya yakin 100 peratus calon PN menang PRK Sungai Bakap — ADUN Jeram

Menurut kenyataan itu, calon yang membayar deposit bahan kempen pilihan raya juga tertakluk pada undang-undang kecil pihak berkuasa tempatan bertujuan mempamerkan dan mengedarkan bahan kempen yang mengandungi gambar calon, lambang atau simbol parti serta gambar pemimpin parti gabungan atau komponen.

WhatsApp Image 2024-06-22 at 13.05.48

Tiada had ditetapkan kepada gambar bagi parti politik yang bertanding.

"Tiada had ditetapkan kepada gambar bagi parti politik yang bertanding dan gambar pemimpin parti politik komponen atau gabungan atau pakatan pada bahan kempen pilihan raya,” katanya.

Selepas nama-nama calon bertanding dalam PRK diumumkan pada Sabtu, tempoh berkempen bermula hingga 11.59 malam, 5 Julai depan.

PRK DUN Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).

PH mempertaruhkan bekas Pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara, Dr Joohari Ariffin untuk merampas kembali kerusi kubu kuat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu, manakala PN yang perlu mempertahankan kemenangan pada Pilihan Raya Negeri Ogos tahun lepas diwakili bekas eksekutif logistik yang juga Naib Yang Dipertua PAS Nibong Tebal, Abidin Ismail.

PRK berkenaan diadakan susulan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

SPR menetapkan hari mengundi awal bagi PRK DUN Sungai Bakap pada 2 Julai ini, manakala hari mengundi 6 Julai. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram