PILIHAN Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap bakal menyaksikan pertembungan antara calon Perikatan Nasional (PN), Abidin Ismail dan Dr Joohari Ariffin yang mewakili Pakatan Harapan (PH) pada 6 Julai depan.
Pengurus Pilihan Raya, Khairulnizam Hashim dilaporkan berkata, pihaknya menerima pencalonan Johari, 60, pada pukul 9.03 pagi, diikuti Abidin pada 9.06 pagi.
"Semakan mendapati kedua-dua calon itu layak bertanding dan tiada bantahan diterima daripada mana-mana pihak," katanya pada Sabtu.
BACA LAGI: Masalah air di Sungai Bakap jadi keutamaan Joohari Ariffin
BACA LAGI: PRK Sungai Bakap bukan pertandingan individu, medan uji ideologi dan parti
Kedua-dua calon bertemu di dalam Dewan Serbaguna Jawi pada hari penamaan calon PRK DUN Sungai Bakap.
Sebelum ini, Abidin, 56, yang berbaju Baju Melayu rona biru firus dan bersampin krim dilihat masuk ke dewan untuk menyerahkan kertas pencalonannya dalam keadaan gembira.
Naib Yang Dipertua PAS itu tiba di pusat penamaan calon di Dewan Serbaguna Jawi, Jawi, Pulau Pinang diiringi pencalon, Abdul Rahman Hashim dan penyokong, Amizan Ariffin.
Beliau turut diiringi Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan; Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Dr Radzi Jidin dan Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor.
Sementara itu, Joohari pula sempat tersenyum dan melambai ke arah penyokong ketika tiba di pusat penamaan calon.
Bekas guru itu diiringi Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN,) Datuk Seri Mohamad Hasan; Pengerusi DAP, Lim Guan Eng dan Pengarah Strategik Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Pusat penamaan calon bagi PRK DUN Sungai Bakap ditutup 10 pagi, Sabtu.
Joohari yang juga bekas pengarah Institut Aminuddin Baki, Cawangan Utara merupakan lulusan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dari Universiti Sains Malaysia (USM).
Beliau banyak bekerjasama dengan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dalam mengendalikan urusan Parlimen dan parti.
Terdahulu, beribu-ribu penyokong yang memakai pakaian Pakatan sambil membawa bendera Harapan menunggu di luar pejabat UMNO Cawangan Nibong Tebal dan melaungkan laungan 'Cikgu Joohari' ketika berarak menuju ke pusat, yang jaraknya kira-kira 200 meter.
Untuk rekod, PRK DUN Sungai Bakap diadakan susulan kematian penyandangnya daripada PN, Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lalu akibat keradangan dalam perut. — The Star/IMRAN HILMY/N.TRISHA
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram