PERGELANGAN tangan manusia yang terputus ditemukan di lokasi insiden kebakaran kereta berhampiran Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan, Ipoh, Perak pada Ahad.
Penemuan tangan kiri yang terdampar di atas jalan raya itu disedari anggota bomba yang bertugas memadamkan kebakaran terbabit, namun tiada mangsa ditemukan di lokasi kejadian.
Difahamkan, sebelum kebakaran berlaku, tercetus pergaduhan melibatkan sekumpulan individu di lokasi sebelum kemudiannya salah satu dari kereta di situ dibakar.
BACA LAGI: Wanita maut dipukul, ditikam suami di depan anak selepas sarapan di Ipoh
Mangsa tidak berada di tempat kejadian ketika bomba tiba di lokasi. — JBPM Perak
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambun, Mohd Jamalludin Mat Yusop berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung insiden kebakaran kereta itu pada pukul 11.16 pagi dengan pihaknya sampai ke lokasi lapan minit kemudian.
Katanya, kebakaran membabitkan sebuah kereta jenis Toyota Vios yang nombor pendaftarannya tidak diperolehi musnah terbakar 95 peratus.
Menurutnya, turut terdapat berdekatan kereta yang terbakar itu adalah sebuah kereta jenis Proton Saga dan Honda Accord yang dipercayai terbabit dengan perlanggaran.
“Terdapat tangan manusia yang sudah putus dijumpai di lokasi kejadian. Bagaimanapun, kesemua mangsa yang terbabit didapati tiada setibanya bomba di lokasi
“Operasi memadam kebakaran itu dibuat sehingga kebakaran dipadamkan sepenuhnya, dan kes diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya lagi, operasi kebakaran membabitkan sembilan anggota BBP Tambun itu berjaya dikawal pada pukul 11.30 pagi sebelum ditamatkan kira-kira 20 minit kemudian. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram