PARTI politik tertua negara, Parti Progresif Rakyat (MyPPP) mengambil pendirian untuk tidak terlibat dalam sebarang kempen Barisan Nasional (BN) di Sungai Bakap selepas kecewa dilayan seperti tiada maruah di Kuala Kubu Bharu pada bulan lalu.
Pemangku presidennya, Datuk Dr Loga Bala Mohan berkata, susulan layanan yang tidak memuaskan itu, MyPPP akan menjauhkan diri daripada sebarang gerakan mendapatkan sokongan pengundi.
Menurut Loga, MyPPP tidak pernah dijemput untuk menghadiri sebarang mesyuarat dan aktiviti anjuran BN sejak pembatalan parti itu ditarik balik oleh Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) pada April 2023.
BACA LAGI: [VIDEO] SK Abaka di Tawau musnah terbakar, bomba ambil masa 50 minit padam api
BACA LAGI: Mangsa pertama bot nelayan karam Tanjung Segenting ditemukan lemas
Pemangku Presiden MyPPP, Datuk Dr J Loga Bala Mohan (tengah). — Facebook
"Tidak boleh buat MyPPP macam, apabila suka ambil (manfaatkan), apabila perlu (baru) pakai, tak bolehlah.
"Mereka perlu faham, kami ada maruah, ahli kami ada maruah dan kalau kamu mahu bantuan kami, kami sedia bekerja, tapi datanglah jumpa, bantu kami," katanya ketika merasmikan Konvensyen MyPPP Pahang di Wisma MCA di Bentong pada Sabtu.
Katanya, tindakan meminggirkan MyPPP oleh BN adalah tidak adil kerana parti itu tidak pernah meninggalkan BN walaupun ketika gabungan berkenaan tewas dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 2018.
"Kami tidak mahu jadi Friends of BN. Kenapa nak jadikan kami Friends of BN sedangkan MyPPP tidak pernah meninggalkan BN.
"MyPPP perlu diiktiraf sebagai komponen dalam BN dan itu yang kami minta BN buat keputusan mengenai kedudukan kami," katanya.
Sebelum ini, pendaftaran MyPPP pernah dibatalkan pada 2018 ekoran wujud dua kumpulan dengan masing-masing mendakwa sebagai pemimpin parti itu yang sah yang mana satu kem diketuai M Kayveas, manakala satu lagi dipimpin mendiang Maglin Dennis D'Cruz.
Kayveas pernah memimpin parti itu lebih dua dekad dan pada 2018 dan beberapa hari menjelang PRU, dia meletak jawatan secara mengejut. Namun, dia menarik balik peletakan jawatan itu selepas beberapa hari kemudian.
Akibat tindakan Kayveas, MyPPP berpecah kepada dua kumpulan dan puak menyokong Kayveas berkeras untuk meninggalkan BN.
Sejak itu, BN masih belum membuat kenyataan rasmi mengenai status MyPPP sebagai parti komponen BN.
Dalam perkembangan lain, Loga menegaskan kemelut dalaman parti itu sejak 2018 sudah selesai sepenuhnya dan kini dalam proses kebangkitan semula.
"Kami akan mengadakan mesyuarat agung pada Ogos ini dan proses kemas kini ahli serta pendaftaran ahli baru, sedang giat dijalankan.
"Sebelum krisis berlaku, MyPPP ada lebih 500,000 ahli di seluruh negara, sekarang kami sudah dapat kembali sekitar 300,000 lebih," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram