'Speaker DUN Selangor, Dewan Rakyat perlu isytihar kekosongan 7 kerusi BERSATU'


  • Politik
  • Khamis, 20 Jun 2024

KETUA Armada Bersatu itu membuat kenyataan berkenaan menerusi satu hantaran di akaun Facebook peribadinya.

KETUA Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menggesa Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Lau Weng San untuk mengisytiharkan kekosongan bagi kerusi DUN Selat Klang.

Menurutnya, tindakan itu perlu diambil susulan keahlian penyandang kerusi tersebut, Abdul Rashid Asari gugur setelah dia meninggalkan perjuangan parti.

“Tindakan ini selaras dengan kehendak rakyat dan sebagai menghormati matlamat demokrasi di sebalik Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 (Akta A1663) yang melarang Ahli Dewan Rakyat bertukar parti yang diluluskan sebulat suara oleh Parlimen pada tahun 2022.

“Adalah penting agar hak dikembalikan dan mandat baharu ditentukan semula oleh rakyat,” katanya menerusi satu hantaran di laman sosial Facebook pada Rabu.

BACA LAGI: 'Semua belum', Wan Fayhsal jawab isu notis pengosongan kerusi 6 MP BERSATU

BACA LAGI: [VIDEO] Bekas Setiausaha Politik Anwar saman Wan Fayhsal RM10 juta

Sebelum ini, media melaporkan, Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengumumkan kerusi DUN Nenggiri dikosongkan bermula Rabu.

Mohd Amar pada sidang akhbar memberitahu keputusan itu dibuat selepas DUN Kelantan menerima notis bertulis mengikut Fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Tubuh Negeri Kelantan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd Azizi Abu Naim pada 13 Jun dan BERSATU pada 12 Jun lalu.

Mengulas lanjut, Wan Ahmad Fayhsal memberitahu bahawa tindakan itu selaras dengan Seksyen 31A Enakmen Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan dan perkara 49A Perlembagaan Persekutuan bagi memberi laluan kepada pilihan raya kecil (PRK) diadakan.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Machang itu turut menggesa Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul untuk mengikuti jejak langkah Speaker DUN Kelantan bagi mengisytiharkan kekosongan di 6 buah kerusi Parlimen. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram