Doa isteri termakbul, mangsa terakhir bot karam Kapit ditemukan terapung lepas 9 hari


  • 112
  • Jumaat, 15 Mac 2024

Mayat mangsa yang ditemukan selepas menerima maklumat daripada orang awam di perairan Seputin, Sarawak pada Jumaat. — Bomba Sarawak

MAYAT mangsa terakhir kejadian bot karam di Sungai Batang Baleh ditemukan dalam keadaan terapung di perairan Seputin, Sarawak pada pagi Jumaat.

Jasad Konstabel Iskandar Zulkarnain Ibrahim, 28, ditemukan pada pukul 11.30 pagi kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian.

BACA LAGI: 'Sayang akan tunggu', isteri mangsa bot karam di Kapit luah sedih suami belum dijumpai

photo_6314071575955094174_x

Mayat Iskandar yang ditemui terapung di lokasi tersebut. — Bomba Sarawak

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam yang ternampak mayat terapung di kawasan Seputin.

“Hasil pengecaman pada pakaian yang dipakai oleh mangsa, didapati mangsa tersebut adalah mangsa terakhir insiden bot karam di Sekolah Kebangsaan (SK) Lepong Baleh.

“Mangsa terakhir insiden bot karam telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang memasuki hari kesembilan pada Jumaat ditamatkan oleh Ketua Polis Daerah Kapit.

Sebelum ini, isteri mangsa pernah meluahkan rasa hiba dan sedih terhadap kejadian malang menimpa suaminya.

BACA LAGI: Konstabel Iskandar, Amerson masih belum timbul, 2 mangsa bot karam di Kapit ditemukan 5km dari lokasi hilang

2585706

Anis (kanan) dan Iskandar Zulkarnain (kiri). — Facebook/Anis

Dia yang berkongsi rasanya itu menerusi hantaran Facebook Anis Nur Ezzati juga memohon doa orang ramai agar suaminya dapat ditemui.

Pada 7 Mac lalu, sebuah bot yang dinaiki lima individu terbalik lalu karam di lokasi Sungai Batang Baleh, berdekatan jeti SK Lepong Baleh, Kapit selepas melanggar air berpusar di sungai berkenaan.

Kejadian melibatkan empat mangsa Iskandar Ibrahim, Sarjan Jonathan Lambet, 51, Amerson John Nain dan Jack Balan, 44, dilaporkan hilang manakala seorang lagi mangsa, Moses Ngui diselamatkan oleh orang awam.

SAR itu turut melibatkan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Unit Dron PDRM, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Pasukan Polis Marin (PPM) Sibu, Pejabat Residen Kapit, Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS) dan Unit Pengesan K9 dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serian. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram