Inilah masanya, Umno berpeluang rampas semula DUN Nenggiri


  • Politik
  • Khamis, 20 Jun 2024

Sebelum PRN lalu, DUN Nenggiri merupakan kawasan dikuasai Umno selama empat penggal berturut-turut sehingga PRU14. — Gambar hiasan

POLITIK negara pada Rabu menyaksikan perkembangan baharu melibatkan wakil rakyat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang berpaling tadah selepas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan mengisytiharkan kekosongan kerusi bagi DUN Nenggiri.

Kerusi tersebut disandang oleh Mohd Azizi Abu Naim, iaitu salah seorang wakil rakyat BERSATU yang bertindak bertentangan dengan pendirian apabila menyatakan sokongan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, keputusan tersebut dibuat selepas DUN Kelantan menerima notis bertulis daripada Mohd Azizi pada 13 Jun dan BERSATU pada 12 Jun lalu, memaklumkan mengenai kehilangan keahlian BERSATU pemimpin itu dan seterusnya berlaku kekosongan luar jangka kerusi berkenaan.

BACA LAGI: Mohd Azizi boleh mohon tangguh PRK DUN Nenggiri, tunggu keputusan mahkamah

BACA LAGI: Tiada pembangkang alternatif, tak mustahil PAS boleh jadi kerajaan

Terdahulu, Mohd Azizi yang juga Ahli Parlimen Gua Musang menjadi antara tujuh wakil rakyat BERSATU yang dilaporkan terhenti keahlian parti selepas gagal memberi jawapan berkaitan surat arahan bertulis Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) untuk menzahirkan ikrar taat setia kepada parti.

Dengan perkembangan terbaharu itu, ia sekali gus mewujudkan kemungkinan kepada berlakunya pilihan raya kecil bagi DUN Nenggiri.

Mohd Amar berkata, kekosongan kerusi perlu diisi dalam tempoh 60 hari dari tarikh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima notis kekosongan.

432388262_1453253968942763_8862602982513868706_n

Mohd Azizi Abu Naim

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang berlangsung pada Ogos tahun lalu, Mohd Azizi menang dengan majoriti 810 undi apabila mendapat 6,517 undi berbanding calon Barisan Nasional (BN), Ab Aziz Yusoff yang memperolehi 5,707 undi.

Untuk rekod, Nenggiri iaitu kawasan pilihan raya yang pertama kali dipertandingkan pada 2004 merupakan satu daripada tiga DUN yang berada di bawah Parlimen Gua Musang, iaitu kawasan Parlimen yang turut disandang oleh Mohd Azizi.

Dua lagi DUN yang berada di bawah Parlimen itu ialah DUN Paloh dan DUN Galas.

Pada PRN lalu, wakil Perikatan Nasional (PN) termasuk Mohd Azizi yang bertanding menggunakan logo PAS berjaya memecah dominasi Umno di bawah Barisan Nasional (BN) apabila menang dua daripada tiga kerusi tersebut iaitu DUN Nenggiri dan DUN Paloh.

Sebelum PRN lalu, DUN Nenggiri merupakan kawasan dikuasai Umno selama empat penggal berturut-turut sehingga Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Antara wakil rakyat Umno yang pernah menduduki kerusi DUN Nenggiri termasuklah Datuk Mat Yusoff Abd Ghani dan Ab Aziz Yusoff.

Dengan mengambil kira status kerusi itu yang secara tradisinya milik Umno, parti terbabit dilihat memiliki potensi yang tinggi untuk membali merampas kawasan tersebut.

Tambahan pula, majoriti 810 undi diperolehi oleh Mohd Azizi dilihat bukanlah satu jumlah yang agak selesa.

Pada masa sama, selain daripada sokongan pengundinya yang mungkin kembali menyokong Kerajaan Perpaduan, Umno juga berpeluang meraih sebahagian sokongan pengundi Parti Keadilan Rakyat (PKR) di bawah Pakatan Harapan (PH) yang sememangnya sudah bertapak di kawasan itu.

Dalam sejarah pilihan di kerusi itu, PKR pernah berjaya meraih undi yang agak tinggi iaitu sebanyak 1,831 undi pada PRU 2004, 2,453 undi (PRU 2008) dan 2,805 (PRU2013). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram