Mohd Azizi boleh mohon tangguh PRK DUN Nenggiri, tunggu keputusan mahkamah


  • Politik
  • Rabu, 19 Jun 2024

Mohd Azizi dilaporkan berkata, beliau akan membawa kes pengosongan kerusinya itu ke mahkamah susulan pengisytiharan kekosongan luar jangka bagi DUN berkenaan yang dibuat oleh Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd Azizi Abu Naim boleh memohon mahkamah untuk meminta penangguhan pilihan raya kecil (PRK) di kawasan tersebut sekiranya beliau mahu mencabar keputusan dibuat oleh Speaker DUN mengenai kekosongan kerusi berkenaan.

Penganalisis Pilihan Raya, Dr G Manimaran berkata, penangguhan itu boleh dilakukan sementara menunggu keputusan mahkamah jika pemimpin terbabit mahu mencabar keputusan dibuat Speaker DUN Kelantan.

Pada Rabu, Mohd Azizi dilaporkan berkata, beliau akan membawa kes pengosongan kerusinya itu ke mahkamah susulan pengisytiharan kekosongan luar jangka bagi DUN berkenaan yang dibuat oleh Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

BACA LAGI: Tiada pembangkang alternatif, tak mustahil PAS boleh jadi kerajaan

BACA LAGI: PKR ada kelebihan jika ikut trend, PAS perlu elemen lain pertahan Sungai Bakap

Ketetapan itu dilakukan selepas DUN Kelantan menerima notis kehilangan keahlian daripada Mohd Azizi dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Untuk rekod, Mohd Azizi yang juga Ahli Parlimen Gua Musang merupakan salah seorang daripada tujuh wakil Rakyat BERSATU yang dilaporkan terhenti keahlian susulan keputusannya menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Manimaran berkata, kemungkinan penangguhan itu bagaimanapun bergantung kepada keputusan yang bakal diambil oleh Mohd Azizi dalam memfailkan kes berkenaan di mahkamah.

"Secara umumnya, dia boleh buat dua perkara. Satu mencabar keputusan Speaker DUN di mahkamah. Kalau dia hanya fokus kepada perkara ini, maka SPR boleh meneruskan PRK kalau mereka merasakan ada keperluan.

"Tapi kalau dia turut meminta mahkamah untuk arahkan SPR tidak mengadakan PRK, jadi PRK akan ditangguhkan sehingga kes itu selesai didengar di semua peringkat mahkamah," katanya kepada Majoriti.

2734977

Penganalisis Pilihan Raya, Dr G Manimaran

Dalam pada itu, mengambil kes terdahulu, Manimaran yang juga penulis bersama buku 'Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Tadbir dan Menang' berkata, SPR juga mempunyai kuasa untuk membuat penangguhan tersebut meskipun tidak mendapat arahan daripada mahkamah.

Ujarnya, perkara itu pernah berlaku ketika 2009 yang menyaksikan SPR membuat keputusan tidak mengadakan PRK susulan pengisytiharan pengosongan kerusi bagi DUN Kota Siputeh yang dibuat oleh Speaker DUN Kedah.

Mahkamah Persekutuan pada 2013 bagaimanapun memutuskan kerusi terbabit tidak kosong kerana Anggota Dewan Undangan Negerinya, Datuk Abu Hasan Sarif daripada Barisan Nasional, bukan gagal menghadiri dua persidangan Dewan Undangan Kedah pada 2009 secara berturut-turut.

Manimaran berkata, lazimnya SPR akan mengambil masa antara tempoh 10 hingga 14 hari untuk memutuskan tindakan selanjutnya selepas mereka menerima notis pengosongan daripada Speaker DUN. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram