[VIDEO] CCTV jiran dedah kejadian murid maut dilanggar van sekolah depan rumah di Pasir Gudang


  • Massa
  • Jumaat, 21 Jun 2024

Tangkap layar rakaman CCTV dipercayai memaparkan kejadian kemalangan maut terbabit yang berlaku pada Rabu lalu.

AHLI keluarga kanak-kanak perempuan yang maut dirempuh van sekolah di hadapan rumah mereka di Bandar Seri Alam, Pasir Gudang, Johor Rabu lalu mendakwa pemandu kenderaan terbabit memberikan kenyataan bercanggah mengenai kejadian tersebut.

Ia selepas rakaman kamera litar tertutup (CCTV) milik kediaman jiran keluarga tersebut dipercayai memaparkan percanggahan berbanding kenyataan pemandu berkenaan.

Menerusi laporan BH Online, ibu kepada kanak-kanak malang itu, Karmin Kahil, 39 mendakwa, klip kejadian memaparkan anak lelakinya Muhammad Afieq Miqhael Nuljin, 6, didapati berjalan di depan van menuju ke kediaman.

Ujarnya, rakaman terbabit dilihat bercanggah dengan dakwaan yang dibuat oleh pemandu van berkenaan.

"Pemandu mendakwa Nurhafizah mengekori abangnya dan mereka berjalan di belakang van tapi rakaman CCTV menunjukkan pergerakan Muhammad Afieq Miqhael di depan kenderaan itu dan diikuti arwah," katanya.

Sehubungan itu, Karmin berharap rakaman itu membantu siasatan polis dan menjelaskan beberapa kekeliruan dalam kejadian menimpa arwah anaknya, Nurhafizah, 5.

Pada masa sama, dia dan keluarganya turut melahirkan kesyukuran ekoran perkongsian rakaman CCTV jirannya bagi membantu merungkai kejadian menimpa anaknya.

Media pada Rabu melaporkan insiden maut melibatkan seorang kanak-kanak perempuan berusia lima yang meninggal dunia selepas dirempuh van sekolah di hadapan kediamannya di Jalan Suria, Bandar Seri Alam, Pasir Gudang, Johor.

Kejadian berlaku 11.35 pagi itu berlaku ketika pemandu van terbabit menurunkan mangsa dan abangnya berusia enam tahun yang juga murid prasekolah di hadapan rumahnya.

Ekoran kemalangan terbabit, mangsa parah dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.

Susulan kejadian itu, pemandu van terbabit yang merupakan wanita berusia 50 tahun ditahan pada Rabu sebelum dilepaskan dengan jaminan polis pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak dilaporkan berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Polis kini sedang melengkapkan kertas siasatan untuk diserahkan kepada pihak pendakwa raya bagi tujuan pendakwaan di mahkamah," katanya seperti yang dilaporkan Harian Metro. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram