Lima badan pemantau hanya 'wayang', MP Kerajaan setuju langkah letak SPRM bawah Parlimen


  • Massa
  • Rabu, 19 Jun 2024

Pada Selasa, Anwar berkata, kerajaan akan meneliti segala implikasi yang berlaku sekiranya SPRM diletakkan di bawah Parlimen.

LANGKAH meletakkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di bawah Parlimen merupakan reformasi institusi penting perlu dilaksanakan kerajaan untuk mengukuhkan kewibawaan agensi tersebut, kata Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim.

Beliau yang juga bekas ahli Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) berkata, cadangan itu sememangnya merupakan antara janji reformasi diperjuangkan Pakatan Harapan (PH) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Selain memastikan kebebasan SPRM, beliau berkata, langkah terbabit dilihat secara langsung dapat memastikan agar badan pencegahan rasuah itu melalui proses semak dan imbang yang sepatutnya di bawah Parlimen.

BACA LAGI: Tiada pembangkang alternatif, tak mustahil PAS boleh jadi kerajaan

BACA LAGI: PKR ada kelebihan jika ikut trend, PAS perlu elemen lain pertahan Sungai Bakap

"Sekarang SPRM terletak di bawah Perdana Menteri. Pertama sekali, Perdana Menteri itu hanya seorang, tapi kalau Parlimen, mereka ini akan dipantau dan disemak imbang oleh sistem jawatankuasa pilihan khas yang dibentuk.

"Yang lebih penting, jawatankuasa ini bukan ahli Parlimen kerajaan sahaja, tapi ia mesti merentas semua pihak. Katakanlah sembilan orang, lima daripadanya adalah kerajaan dan empat pula daripada pembangkang," katanya kepada Majoriti.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai cadangan meletakkan SPRM di bawah Parlimen.

Pada Selasa, Anwar berkata, kerajaan akan meneliti segala implikasi yang berlaku sekiranya SPRM diletakkan di bawah Parlimen.

428625769_966592558158699_3886784851916061363_n

Selain memastikan kebebasan SPRM, beliau berkata, Hassan berkata, langkah terbabit dilihat secara langsung dapat memastikan agar badan pencegahan rasuah itu melalui proses semak dan imbang yang sepatutnya di bawah Parlimen. — Facebook/Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

Ujarnya, perkara itu harus dibincangkan terlebih dahulu memandangkan ada dalam kalangan ahli politik berada dalam radar SPRM.

Mengulas lanjut, Hasan berkata, jawatankuasa ditubuhkan itu mempunyai kuasa yang serupa seperti Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) termasuk dalam isu pelantikan Ketua Pengarah SPRM.

"Maknanya SPRM ini bukan tunduk, tapi diselia dan dipantau. Jawatankuasa Pilihan Khas ini juga akan hantar laporan dan bentang di Parlimen untuk dibahaskan.

"Jadi barulah SPRM ini berwibawa. Kalau tidak sekarang ini, SPRM hanya bertanggungjawab dengan Perdana Menteri," katanya.

Baru-baru ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki memaklumkan beliau tidak bersetuju dengan cadangan untuk meletakkan SPRM di bawah Parlimen.

Ini kerana menurut Azam, SPRM ketika ini adalah satu-satunya agensi dipantau lima badan bebas berbanding Suruhanjaya Bebas Menentang Rasuah (ICAC) Hong Kong yang dipantau empat badan pengawasan.

431742109_846069010660760_8482786334134501514_n

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim. — Parlimen Malaysia

Menyentuh mengenai perkara tersebut, Hassan berkata, kewujudan badan bebas yang memantau SPRM ketika ini termasuk JKMR disifatkan tidak memiliki 'taring' dalam memainkan peranannya untuk melakukan semak dan imbang terhadap SPRM.

"Saya sendiri ada dalam JKMR ketika Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri.

"Bila (kerajaan) beralih kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, ada sekali kami (JKMR) dapat jumpa Perdana Menteri. Kemudian waktu Anwar jadi Perdana Menteri, JKMR langsung tak ada jumpa.

"Ketua Pengarah SPRM dia tak takut pun. Saya baca dia kata ada lima jawatankuasa pemantau. Ini semua, maaf cakap lah ya... wayang sahaja," dakwanya.

Pada waktu ini, lima badan bebas yang dibentuk bagi melakukan semak dan imbang terhadap SPRM ialah Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR), Jawatankuasa Aduan (JKA), Panel Penilaian Operasi (PPO) serta Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram