Hanya bergantung pasaran tempatan, sistem pendidikan antara punca daya saing Malaysia merosot — Pakar


  • Massa
  • Khamis, 20 Jun 2024

Menurut IMD, penurunan Malaysia dapat dilihat dengan jelas merentasi hampir semua faktor dinilai termasuk prestasi ekonomi, kecekapan kerajaan dan kecekapan perniagaan. — Gambar hiasan

PADA Selasa, negara dikejutkan dengan berita mengenai kemerosotan Malaysia dalam ranking Daya Saing Global (WCR) yang dikeluarkan Institut Antarabangsa bagi Pembangunan Pengurusan (IMD) pada 2024.

Dalam laporan itu, negara dilaporkan jatuh tujuh anak tangga daripada kedudukan ke-27 yang dicatatkan pada tahun lalu, kepada 34 daripada 67 negara yang dinilai.

Perkembangan terbaharu itu juga menyaksikan Malaysia kini terletak di kedudukan keempat dalam kalangan negara ASEAN di belakang Singapura, Thailand dan Indonesia.

BACA LAGI: Inilah masanya, Umno berpeluang rampas semula DUN Nenggiri

BACA LAGI: Mohd Azizi boleh mohon tangguh PRK DUN Nenggiri, tunggu keputusan mahkamah

Menurut IMD, penurunan Malaysia dapat dilihat dengan jelas merentasi hampir semua faktor dinilai termasuk prestasi ekonomi, kecekapan kerajaan dan kecekapan perniagaan.

Laporan itu turut menyaksikan penurunan ketara bagi Malaysia dalam bidang tertentu seperti kejatuhan 19 anak tangga kepada 35 dalam subfaktor ekonomi domestik dan penurunan 17 tempat kepada ke-53 dalam produktiviti dan kecekapan.

IMD turut mendedahkan Malaysia kini memaparkan kemerosotan daya saing di sektor pendidikan yang kini berada di kedudukan ke-44.

Ahli Ekonomi, Dr Nungsari Ahmad Radhi berkata, laporan WCR itu secara jelas memberikan menggariskan punca kepada penurunan Malaysia di dalam ranking terbabit.

"Walaupun laporan itu menyatakan tidaklah buruk (kedudukan), tetapi ia merekodkan penurunan. Laporan IMD ini mengukur 'daya saing' sesebuah ekonomi atau sejauh mana firma di dalam negara boleh bersaing dengan firma negara lain," katanya kepada Majoriti.

Mavcom executive chairman Dr Nungsari Ahmad Radhi.

Ahli Ekonomi, Dr Nungsari Ahmad Radhi.

Sehubungan itu, beliau yang juga ahli Jawatankuasa Penasihat Dasar kepada Perdana Menteri dan Majlis Tindakan Ekonomi Negara berkata, adalah penting untuk kerajaan melihat isu yang perlu ditangani itu.

Ia antara lain dengan usaha memperbaiki sistem pendidikan daripada peringkat persekolahan hingga universiti dan melahirkan sumber tenaga manusia yang berkualiti, berkemahiran serta berdaya saing.

"Ini termasuk juga peningkatan penyelidikan dan pembangunan (R&D) di universiti terutamanya dalam bidang berkaitan Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM).

"Selain itu perbaiki juga persekitaran perniagaan yang mendorong persaingan dan bukannya perlindungan," ujarnya.

Nungsari berkata, sekiranya isu itu tidak ditangani dan dibiarkan berlarutan, ekonomi Malaysia berpotensi untuk menjadi semakin tertumpu kepada pasaran domestik akibat daripada kekurangan syarikat tempatan yang berdaya saing bagi mengeksport produk mereka ke luar negara.

"Ekonomi negara memang pun semakin domestik dalam dua dekad ini. Itu juga antara sebab kadar upah menjadi rendah kerana semata mata bergantung kepada pasaran tempatan," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram