Enam MP BERSATU terima notis terhenti serta-merta — Hamzah Zainudin


  • Politik
  • Rabu, 12 Jun 2024

Hamzah menjelaskan segala proses dan tindakan diambil terhadap keenam-enam Ahli Parlimen itu dibuat berdasarkan perlembagaan parti.

BERSATU pada Rabu mengesahkan bahawa pucuk pimpinan parti sudah menyerahkan notis terhenti secara serta-merta kepada enam wakil rakyat yang didakwa melakukan ketidakpatuhan mengikut Fasal 10.4 perlembagaan parti.

Setiausaha Agung parti, Datuk Seri Hamzah Zainudin menerusi satu kenyataan berkata, penyerahan dibuat selaras dengan arahan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU yang bermesyuarat pada 7 Jun lalu dan dimaklumkan kepada Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) yang bermesyuarat pada Selasa.

"Bagi kes Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman pula, keahliannya terhenti serta-merta menurut Fasal 10.2.6 Perlembagaan BERSATU. Notis terhenti secara serta-merta keahlian dihantar kepadanya lebih awal iaitu pada 17 Mei 2024," katanya.

BACA LAGI: BERSATU akan hantar surat kepada Speaker, beri notis keahlian gugur sehari 2 lagi — Muhyiddin

BACA LAGI: 'MP BERSATU berpaling tadah dihentikan keahlian, bukan lucut' — Saifuddin

448164965_1018741333209920_3528119304060954580_n

Kenyataan dikeluarkan BERSATU selepas mesyuarat Majlis Tertinggi PN diadakan. Facebook/Hamzah Zainudin

Jelas Hamzah lagi, kesemua proses dilakukan berdasarkan perlembagaan parti dan undang-undang negara yang tertera di bawah Artikel 49 (A) Perlembagaan Persekutuan.

Keenam-enam Ahli Parlimen BERSATU berkenaan sebelum ini menyuarakan sokongan mereka terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Lima Ahli Parlimen yang lain ialah Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjung Karang), Zahari Kechik (Jeli), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang) dan Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang).

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari turut menyuarakan sokongannya terhadap pimpinan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari sebelum ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram