Nasib 7 wakil rakyat BERSATU terjawab, PRK bakal jadi penentu masa depan Umno, kerjasama Kerajaan Perpaduan


  • Politik
  • Ahad, 02 Jun 2024

Umno kini mempunyai 26 kerusi di Dewan Rakyat selepas PRU15. — Gambar hiasan

TEMPOH 14 hari ditetapkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) untuk wakil rakyatnya menandatangani Surat Arahan parti itu akhirnya tamat pada Jumaat lalu.

Isi kandungan surat tersebut yang dikeluarkan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU antara lain membabitkan ikrar kesetiaan terhadap parti berkenaan.

Yang menjadi tumpuan pastinya maklum balas enam ahli Parlimen dan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti tersebut yang sebelum ini menyatakan sokongan bertentangan dengan pendirian parti.

BACA LAGI: Jika gagal jawab notis, 7 YB BERSATU berisiko hilang kerusi — Pakar Perlembagaan

BACA LAGI: Azmin dan Hamzah belum cukup syarat, tiada keperluan tanding rebut jawatan Timbalan Presiden BERSATU — Wan Saiful

Pada Sabtu, Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan hanya 25 Ahli Parlimen BERSATU daripada keseluruhan 31 menyempurnakan Surat Arahan.

Bagi ADUN pula, beliau berkata, yang turut menandatangani surat berkenaan ialah 58 ADUN parti itu.

Untuk rekod, BERSATU mempunyai keseluruhan sebanyak 60 ADUN.

Perkembangan itu menyaksikan bahawa sebanyak enam Ahli Parlimen dan dua ADUN BERSATU gagal untuk menyempurnakan Surat Arahan tersebut.

Berita Harian melaporkan, enam Ahli Parlimen dan seorang ADUN BERSATU digugurkan keahlian serta-merta selepas gagal menjawab Surat Arahan bertulis Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti untuk menzahirkan ikrar taat setia kepada parti itu.

Perkembangan itu dimaklumkan pada Ahad oleh Ketua Armada BERSATU, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal selepas diputuskan dalam mesyuarat baru-baru ini.

"Parti sudah bermesyuarat. Mereka (enam Ahli Parlimen dan seorang ADUN) gugur keahlian automatik," katanya.

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) president Tan Sri Muhyiddin Yassin said the 15th GE can be held next year after the floods pass Malaysia. — THOMAS YONG/The Star

Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Mereka yang menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terdiri daripada Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

ADUN yang menyatakan sokongan kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari ialah dari Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari.

Dalam pada itu, selain menjadi ahli Parlimen, Mohd Azizi juga merupakan seorang ADUN di Kawasan Nenggiri.

Dalam kenyataannya pada Sabtu, Muhyiddin mengingatkan bahawa wakil rakyat BERSATU yang tidak patuh kepada arahan dikeluarkan MPT menyebabkan keahlian mereka terhenti serta-merta.

Perkara itu selari dengan Fasal 10.4 Perlembagaan BERSATU yang dipinda baru-baru ini.

Akta Anti Lompat Parti

Perhimpunan Agung Khas BERSATU pada Mac lalu meluluskan pindaan Perlembagaan parti itu berhubung perlucutan keahlian parti bagi Ahli Parlimen dan ADUN serta Ahli Dewan Negeri yang menyokong mana-mana pihak yang bertentangan dengan parti atau musuh.

Pindaan itu membabitkan tiga perkara di bawah Fasal 10 Perlembagaan BERSATU iaitu berkaitan hal-hal pemberhentian dan pemecatan ahli parti.

Fasal tersebut antara lain memperuntukkan mana-mana ahli BERSATU yang juga wakil rakyat di Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri atau Dewan Negeri yang melakukan ketidakpatuhan terhadap apa-apa arahan yang dikeluarkan oleh Majlis Pimpinan Tertinggi yang selari dengan adalah disifatkan terhenti keahliannya daripada BERSATU secara serta-merta.

Pindaan berkenaan juga menyebabkan perlembagaan parti itu memenuhi syarat seperti mana ditetapkan di bawah Perkara 49 (A) Perlembagaan Persekutuan yang menggariskan dua sebab seseorang Ahli Dewan Rakyat perlu mengosongkan kerusi dimenanginya dalam pilihan raya.

Ia melibatkan tindakan wakil rakyat melepaskan keanggotaan sebagai atau tidak lagi menjadi anggota parti politik, atau calon Bebas yang bertindak menyertai parti politik sebagai ahli.

Pakar Perlembagaan, Profesor Madya Dr Muhammad Fathi Yusof berkata, tujuh wakil rakyat BERSATU yang menerima Surat Arahan tersebut berisiko kehilangan kerusi masing-masing sekiranya mereka gagal memberikan maklum balas terhadap notis diberikan.

Menurut beliau, notis tersebut dilihat mempunyai arahan khusus perlu dipatuhi oleh wakil rakyat terbabit yang juga merupakan ahli parti berkenaan.

Situasi itu menyebabkan kedudukan tujuh wakil rakyat BERSATU kini dilihat seakan-akan semakin berada di hujung tanduk.

Pada masa sama, perkembangan yang berlaku turut bakal menyaksikan buat pertama kalinya pelaksanaan Akta Anti Lompat Parti di dalam negara.

Perlucutan keahlian yang membawa kepada pengosongan kerusi itu sekali gus mencetuskan Pilihan Raya Kecil di tujuh kawasan terbabit.

PRK jadi medan penentu kedudukan Umno, kerjasama Kerajaan Perpaduan

Sekiranya PRK di kesemua kawasan terbabit benar-benar terjadi dan berjalan serentak, mahu tidak mahu, ia pastinya akan memberikan impak terhadap situasi semasa politik negara.

Antara pihak yang dijangka menerima kesan ekoran berlangsungnya pilihan raya tersebut tentunya adalah Umno yang kini merupakan sebahagian daripada parti membentuk Kerajaan Perpaduan.

Dengan mengambil kira latar belakang kesemua kawasan terbabit yang disifatkan sebagai majoriti Melayu, tugasan untuk bersaing di kawasan berkenaan dijangka dipikul oleh Umno.

Dengan situasi semasa sokongan pengundi Melayu yang kini dilihat lebih cenderung kepada Perikatan Nasional (PN) yang didominasi PAS dan BERSATU, ini pastinya memberikan cabaran besar buat parti itu.

Pada masa sama, sebarang keputusan terhasil dalam PRK berkenaan juga diramal akan memberikan kesan terhadap kerjasama dalam kalangan parti Kerajaan Perpaduan.

Sekiranya Umno gagal mempamerkan pencapaian positif, situasi itu akan meletakkan parti berkenaan berada di kedudukan sukar khususnya untuk berunding bagi pembahagian kerusi menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim speaks during a press conference after special meeting on ' Majlis Tindakan Sara Hidup Negara 2022' at the prime office in Putrajaya . (27/11/2022). —AZHAR MAHFOF/The Star

Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar kini terdiri daripada beberapa parti gabungan.

Ini termasuk untuk memastikan parti itu memperolehi lebih banyak kerusi untuk ditandingi sekali gus meningkatkan potensi memenangi lebih banyak kawasan dikuasainya berbanding 26 kerusi ketika ini.

Pada Waktu ini, Kerajaan Perpaduan terdiri daripada beberapa gabungan utama iaitu Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Dalam beberapa PRK termasuk enam pilihan raya negeri yang berlangsung pada Ogos tahun lalu, PH dan BN membuat keputusan untuk secara rasmi bekerjasama.

Namun, kedua-dua pihak masih belum memutuskan pendirian berhubung sama ada persefahaman berkenaan akan terus dilanjutkan pada PRU16.

Ini termasuk dalam PRN di tiga negeri yang dijangka berpotensi untuk diadakan lebih awal iaitu di Sabah, Melaka dan Johor.

Disebabkan itu, kegagalan Umno untuk merekodkan prestasi yang baik dalam PRK di tujuh kawasan terbabit dilihat bakal memberikan cabaran cukup besar terhadap kepimpinan parti khususnya dalam menentukan survivalnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram