Sakit jantung antara punca kematian baharu 6 jemaah haji Malaysia


  • Primer
  • Khamis, 20 Jun 2024

Waris kepada kesemua jemaah yang meninggal dunia sudah dimaklumkan mengenai berita berkenaan.

SEBANYAK enam lagi kematian jemaah haji Malaysia di Tanah Suci dicatatkan, menjadikan jumlah 14 kematian setakat ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata, semua jemaah itu sempat melakukan ibadah wukuf dengan kebanyakannya meninggal dunia akibat sakit jantung, paru-paru berair dan jangkitan kuman pada darah.

"Pihak hospital Arab Saudi dan petugas TH (Lembaga Tabung Haji) membantu waris kepada Allahyarham yang meninggal dan waris mereka yang berada di tanah air juga sudah dimaklumkan.

"Takziah kepada waris yang telah meninggal di Makkah ini dan bersama-samalah kita mendoakan agar roh mereka ditempatkan dalam kalangan mereka yang beramal soleh,” katanya dalam sidang media penutup musim haji 1445H/2024 di Ibu Pejabat TH, Makkah pada Rabu malam.

BACA LAGI: 'Bayar mahal untuk hidup susah', ada jemaah haji anggap kekayaan tidak menjanjikan 'tiket' ke syurga

BACA LAGI: KESUMA bentang laporan interim penubuhan Suruhanjaya Pekerja Gig dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada Rabu

Datuk Na'im Mokhtar - SAM THAM/THESTARReporter RAHIMY

Na'im menyatakan kesemua jemaah yang meninggal dunia sempat mengerjakan ibadah wukuf.

Pada masa sama, setakat ini, seramai 93 jemaah haji negara sedang menerima rawatan dengan 11 daripada mereka ditempatkan di Hospital Arab Saudi termasuk dua dalam keadaan kritikal di Hospital King Abdulaziz, manakala 82 lagi di Pusat Rawatan TH Makkah.

Dia berkata, kebanyakan kes melibatkan masalah berkaitan pernafasan seperti jangkitan kuman paru-paru disebabkan cuaca panas dan kering.

Sementara itu, Mohd Na'im menyifatkan operasi haji tahun ini sebagai antara yang paling cemerlang dan mengucapkan tahniah kepada pengurusan TH serta petugas yang berjaya memainkan peranan untuk memastikan kebajikan, keselamatan dan kesihatan jemaah haji Malaysia terjamin.

“Ucapan terima kasih juga kepada jemaah haji Malaysia yang terkenal dengan sifat disiplin dan ilmu pengetahuan sehingga menjadi bualan dan pujian oleh kerajaan Arab Saudi, terima kasih kerana sabar dan memberi kerjasama yang baik kepada petugas.

“Walaupun ada sedikit kekurangan tetapi secara umumnya perjalanan haji ini menjadi lebih berkat dengan pertolongan serta komitmen yang diberikan jemaah haji menyebabkan operasi haji kali ini berjalan lancar dan baik,” katanya.

61656169387_PusatRawatanLembag

Beberapa jemaah diberikan rawatan di Pusat Rawatan TH di Makkah. Astro Awani

Dia tidak menafikan semasa di Mina, jemaah terpaksa berhadapan cuaca panas terik selain keadaan ruangan khemah yang agak terhad.

Selain itu, Mohd Na’im turut merakamkan penghargaan kepada petugas TH yang terlibat dalam Program Prihatin Tetamu Ar-Rahman (Peneman) bagi membantu 50 warga emas yang dikenal pasti memerlukan bantuan dan bimbingan khusus semasa tempoh kemuncak haji di Masyair.

“Saya terharu apabila ada jemaah yang terlibat dalam program Peneman ini mengakui anak mereka sendiri pun tidak melayan mereka seperti mana petugas haji lakukan. Jadi ia merupakan satu pengakuan ikhlas yang diberikan oleh jemaah.

“Saya boleh katakan petugas yang terlibat ini sebagai wira tidak didendang yang memainkan peranan sangat besar untuk memastikan apabila jemaah ini balik ke Malaysia, dia akan bercerita bukan sahaja pengurusan TH efisien tetapi juga terharu dengan kebaikan yang ditunjukkan oleh petugas haji,” katanya.

Mohd Na’im turut memaklumkan bahawa satu pascanilai akan diadakan bagi mengenal pasti segala bentuk aduan yang diterima daripada jemaah haji Malaysia khususnya semasa di Masyair untuk penambahbaikan perancangan musim haji tahun depan. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram