MENJELANGNYA sambutan Raya Aidiladha Isnin ini, pasti ramai umat Islam sedang bertungkus-lumus mempersiapkan diri untuk mengerjakan ibadah korban.
Menurut Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), ibadah korban bermaksud penyembelihan binatang ternakan tertentu pada Hari Raya Aidiladha dan hari-hari Tasyrik (11, 12 dan 13 Zulhijjah) dengan tujuan mendekatkan diri kepada ALLAH SWT.
Ibadah korban antara salah satu amalan sunat yang sangat dianjurkan dalam Islam dan dilaksanakan selepas solat sunat Aidiladha sehingga sebelum terbenamnya matahari pada 13 Zulhijah.
BACA LAGI: Boleh jadi haram, tukang lapah tak ada hak ambil daging tanpa izin pemilik
BACA LAGI: Sekalikan korban dan akikah? Ada sebab lebih afdal daging sembelihan diasingkan
Umat Islam dituntut untuk melakukan ibadah korban semasa Hari Raya Aidiladha.
Antara haiwan yang kebiasaannya digunakan majoriti rakyat Malaysia untuk melaksanakan ibadah tersebut adalah lembu.
Terdapat juga beberapa syarat yang dikenakan dalam memilih haiwan untuk disembelih dan disedekahkan kepada golongan memerlukan.
Antara syaratnya adalah haiwan ternakan sahaja, sihat dan bebas daripada sebarang penyakit, tidak cacat serta minimum umur yang dibenarkan untuk korban.
Namun, ada juga segelintir individu yang nampaknya mengambil remeh tentang syarat tersebut kerana memilih haiwan terlalu kurus sehingga memperlihatkan tulang rusuknya.
Hal ini kerana, keadaan badan haiwan tidak terlalu kurus juga termasuk dalam syarat sah korban.
Mengulas lanjut, seorang pengguna Facebook Sham Razi menggesa orang ramai agar tidak terlalu mudah memilih haiwan tanpa mematuhi syarat sah berikut selepas melihat keadaan lembu yang terlalu kurus dijadikan korban di sebuah kawasan perumahan baru-baru ini.
"Lama dah aku perhati benda ni dari tahun-tahun sebelum ni lagi. Lembu korban memang kena kurus kering mcm ni ke.
"Sepatutnya sebulan atau dua bulan lagi nak raya haji, dah pilih lembu mana yang nak buat korban tu bagi la makan cukup-cukup bagi sihat.
"Jangan zalim dengan binatang," tulisnya.
Bukan itu sahaja, ada juga yang turut bersimpati dengan keadaan lembu tersebut menyarankan kepada peniaga atau pembekal tidak menjual haiwan seperti itu untuk mengaut keuntungan.
"Jangan aniaya orang, kurus kering lembunya. Ini antara pemikiran peniaga yang money oriented," komen Arda. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram