TIDAK kira seberapa besar pangkat seseorang, semuanya sama di sisi ALLAH.
Seorang jemaah haji, Yusri Jamal menceritakan pengalamannya sewaktu berada di Makkah bagi menunaikan ibadat haji baru-baru ini.
"Bayar mahal untuk hidup susah," tulisnya di Facebook.
BACA LAGI: 'Tuhan tak ampun dosa', mufti harap umat Islam tak buat jenaka buhul sihir, amalan khurafat
BACA LAGI: Boleh jadi haram, tukang lapah tak ada hak ambil daging tanpa izin pemilik
Yusri berkata, pelbagai golongan berjawatan tinggi berada di sekitarnya sewaktu memilih untuk mengambil pakej harga yang tinggi.
"Saya pergi haji yang mana kos paling rendah dalam RM45,000 untuk 46 hari.
"Ada jemaah haji yang bayar sampai RM100,000, RM200,000 juga. ini geng VVIP. Rakan sebilik saya pun ketua pengarah, pengarah dan sebagainya. Geng-geng berduit lah kira," katanya.
Meskipun sudah membayar dalam jumlah yang besar, Yusri beranggapan bahawa mereka tetap melalui situasi yang sama tidak mengira seberapa besar pakej haji yang telah dibayar.
"Pelbagai ujian yang dilalui. Bersesak tidur bahu ke bahu dengan orang sebelah, katil tak cukup, khemah terbakar, bas lambat, jalan tutup, beratur toilet panjang," katanya.
Malah, rakan Yusri yang bergelar mutawif turut meluahkan kepadanya bahawa individu yang mengambil pakej yang mahal sering diuji dengan pelbagai hal.
"Ditakdirkan bas tak boleh masuk ke kawasan Mina jadi kami perlu mendaki sejam merentasi dua terowong, total tiga kilometer naik bukit. Ada yang kaki cramp, ada yang naik wheelchair," katanya.
Perkara itu membuka mata Yusri bahawa seseorang tidak boleh membeli 'tiket' untuk ke syurga.
"Begitulah ALLAH Maha Adil, you cannot buy your way to heaven," katanya.
Bagaimanapun, Yusri berharap agar setiap umat Islam yang bakal menunaikan ibadah haji membuat persiapan rapi dari sudut kesihatan fizikal dan mental.
"Secara peribadi saya seronok di sini, sebab dah biasa bermabit, tidur berlaga bahu, serta beratur tunggu tandas.
"Sebagai seseorang yang ekstrovert, kita bertenaga bila dikelilingi ramai orang.
"Tapi siapa yang tak biasa tu, biasakanlah jika nak pergi haji. Boleh cuba hiking dan bermabit untuk tahu apa yang diharapkan," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram