IBADAH wukuf merupakan antara salah satu rukun wajib terpenting dalam pelaksanaan ibadah haji yang merupakan rukun kelima Islam.
Malah, ibadah tersebut yang berlangsung pada Hari Arafah juga disifatkan sebagai kemuncak kepada ibadah haji.
Ia berdasarkan kepada sabda Nabi Muhammad SAW yang dalam bahasa Arabnya berbunyi 'Al-hajju Arafah' dan membawa maksud bahawa haji itu merupakan wukuf di Arafah.
Pada tahun ini, jemaah haji daripada seluruh dunia yang datang ke Makkah bakal menunaikan wukuf di padang Arafah pada tanggal 9 Zulhijah 1444 Hijrah yang jatuh pada tarikh 27 Jun 2023.
Ketua Pakar Rujuk musim haji negara pada tahun ini, Dr Anisah Ab Ghani berkata, Hari Arafah mempunyai keistimewaan tersendiri kerana ia merupakan hari yang sangat mustajab untuk berdoa.
Jemaah haji yang berada di Arafah digalakkan memperbanyakkan zikir, solat sunat dan membaca al-Quran.
Di samping itu, beliau berkata, hari tersebut juga menjadi hari ALLAH untuk membebaskan hamba-Nya daripada api neraka.
Anisah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Ibadat Haji (TH-JAKIM) berkata, disebabkan itu, jemaah haji disarankan sebaik-baiknya supaya membuat senarai doa sebanyak mungkin supaya mereka tidak tertinggal sebarang perkara yang dihajati.
"Jemaah haji kena peka, ketika kita berada di Arafah ini macam mana kita nak berdoa kita kena ada senarai, sebab ini hari doa yang mustajab bagi orang yang mengerjakan haji dan orang yang kita mohon, orang yang minta kita doa di Arafah," katanya seperti dilaporkan Bernama.
Dalam pada itu, Anisah berkata, bakal haji juga digalakkan memperbanyakkan zikir, solat sunat dan membaca al-Quran serta meninggalkan perkara sia-sia seperti berbual-bual dengan rakan atau menghisap rokok.
Sementara itu, beliau menambah, bagi yang tidak mengerjakan haji, mereka disunatkan berpuasa pada Hari Arafah.
Berikut disenaraikan lima amalan lain yang dianjurkan pada hari Arafah:
1. Menggandakan amal ibadah
2. Memperbanyakkan sedekah
3. Menggandakan zikir
4. Memperbanyakkan istighfar
5. Melipatgandakan doa.
Ia merupakan waktu berdoa yang paling mustajab dan yang paling dekat untuk dimakbulkan. Manfaatkan waktu ini sebaiknya dengan berdoa dan meminta kepada ALLAH keampunan.
Bagi umat Islam yang tidak mengerjakan ibadah haji, ambil peluang dan kelebihan hari wukuf di Arafah ini untuk berdoa di tempat masing-masing tanpa menghadkan tempoh berdoa kepada jam atau masa yang tertentu.
Bahkan anda digalakkan berdoa sepanjang tempoh berwukuf itu. Ini kerana tiada dalil khusus yang mengehadkannya.
“Sebaik-baik doa yang dibaca pada hari Arafah dan sebaik-baik zikir yang aku ucapkan serta nabi-nabi sebelumku ialah:
لا إِله إِلا اللهُ وحدهُ لا شرِيك لهُ, لهُ المُلكُ ولهُ الحمدُ يُحيِي ويُمِيتُ وهُو حي لا يمُوتُ, بِيدِهِ الخيرُ, وهُو على كُلِ شيءٍ قدِير
"Tidak ada yang berhak disembah selain ALLAH yang satu, tiada sekutu bagi-NYA, milik-NYA kekuasaan dan milik-NYA segala pujian dan Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu." (Riwayat Al-Tirmizi). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram