MEMANDANGKAN polis masih mengesan pelaku kes pemain bola sepak Selangor FC, Faisal Halim, masyarakat tidak henti-henti berdoa supaya individu yang berbuat zalim itu segera diketahui.
Pada Jumaat, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain dilaporkan berkata, pihaknya giat berusaha dalam menyiasat kes itu termasuk mengenal pasti dan memberkas suspek terlibat.
"Setakat ini, kami belum mengetahui motif di sebalik ketiga-tiga serangan terhadap pemain bola sepak itu, termasuk Faisal.
“Apa yang kita nampak hanyalah pattern (corak) dua hari sekali, dua hari sekali. Pattern itu kita nampak, motif kita tak ada (belum dikenal pasti).
"Untuk mengesan pelaku kes Faisal Halim, kita dah buat cap jari negatif, foto fit tidak banyak membantu," katanya.
Susulan itu, menerusi laman TikTok, dilihat ramai warganet meminta agar umat Islam sama-sama mendoakan supaya suspek segera ditahan.
"Hari Arafah perbanyakan doa supaya tahu siapa dalangnya," tulis Norshakina Samsuddin.
BACA LAGI: CEO program agama tawar diri lepas Ustaz Don direhatkan terus, KP RTM nasihat jangan 'play victim'
Kesan kecederaan yang dialami Faisal di bahagian tangan kiri selepas serangan asid terjadi pada 5 Mei lalu.
Tidak hanya itu, seorang pengguna, Madu berharap agar kita sama-sama menadah tangan ketika solat Jumaat agar pelaku berasa menyesal atas kelakuannya dan segera menyerahkan diri.
"Masa solat jumaat tadah tangan. Aminkan," tulisnya.
Bercakap soal itu, Mufti Terengganu, Datuk Dr Mohamad Sabri Haron berharap agar umat Islam sentiasa memanjatkan doa buat orang yang teraniaya sebegitu sepanjang waktu tidak sewaktu solat Jumaat sahaja.
"Doa bukan hari Jumaat sahaja. Sewaktu azan hingga iqamah juga perlu. Waktu dua pertiga malam juga boleh," katanya kepada Majoriti.
Walaubagaimanapun, Mohamad Sabri bersetuju sekiranya umat Islam menggunakan peluang sewaktu solat Jumaat untuk bersama-sama menadah tangan agar pelaku bagi kes Faisal Halim segera dipertemukan.
"Setuju dan tidak salah sekiranya menadah tangan waktu solat Jumaat agar pelaku segera dipertemukan," katanya.
Memandangkan kita berhampiran waktu Arafah, Mohamad Sabri juga berpendapat agar jemaah haji menggunakan peluang keemasan di tanah suci untuk terus memohon doa.
"Khususnya ketika wukuf di Arafah. Kita boleh gunakan masa itu untuk mendoakan Faisal Halim. Jangan lupa juga umat Islam lain yang teraniaya seperti penduduk Palestin," katanya.
Dalam pada itu, Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad menegaskan bahawa umat Islam yang sedang menunaikan ibadah haji perlu sentiasa berdoa.
"Berada di sana (tanah suci) memang doa sangat mustajab," katanya.
Namun, selain jemaah haji, Mohamad Shukri berharap agar kita yang berada di Malaysia juga sentiasa menitipkan doa buat orang-orang yang teraniaya.
"Kita boleh khususkan doa untuk Faisal Halim. Selain itu, doakan juga untuk semua umat Islam supaya masing-masing memperoleh lindungan daripada ALLAH.
"Kerana tak naklah lepas itu ada orang lain pula yang terkena," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram