Pencarum SKSPS berdaftar suku pertama 2024 PERKESO melonjak hampir 6 kali ganda


  • Massa
  • Jumaat, 31 Mei 2024

Steven Sim (tengah) ketika di Majlis Anugerah Khidmat Cemerlang dan Anugerah Khidmat Setia 2023 PERKESO. — PERKESO

PERTUBUHAN Keselamatan Sosial (PERKESO) merekodkan lonjakan signifikan hampir enam kali ganda bersamaan 474 peratus untuk suku pertama tahun ini bagi jumlah pencarum berdaftar untuk Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 (Akta 789) yang berjumlah 471,000 orang berbanding tempoh sama tahun lalu.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong memberitahu pertumbuhan memberangsangkan turut dicatat untuk tempoh sama menerusi jumlah penempatan pekerjaan melalui portal perkhidmatan pekerjaan negara (MYFutureJobs) dengan peningkatan sebanyak 152 peratus dengan 39,136 individu berjaya mendapat penempatan pekerjaan berbanding 15,520 individu untuk suku pertama tahun sebelumnya.

BACA LAGI: Tak tahu kena carum antara alasan majikan selalu beri bila gagal, lewat daftar PERKESO

BACA LAGI: PERKESO lanjut tempoh Bulan Pemutihan, majikan dapat peluang daftar dan carum pekerja

“Jumlah kutipan caruman, peratus Orang Berinsurans kembali bekerja menerusi Program Return-To-Work (RTW) dan lain-lain juga menghasilkan pulangan positif dengan jumlah lebihan pendapatan keseluruhan sebanyak RM608 juta sehingga April 2024 iaitu peningkatan 1.5 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

“Momentum pertumbuhan positif ini diharap mampu diteruskan sehingga penghujung 2024,sekali gus berupaya menyambung legasi kecemerlangan pencapaian yang dilakar PERKESO pada tahun 2023.

“Petunjuk Prestasi Utama (KPI) PERKESO untuk 2024 diharap dapat dicapai dengan sasaran sejuta individu bekerja sendiri mencarum Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) serta 500,000 wanita mendaftar dan mencarum Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR).

“Selaras misi 3K Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) iaitu Kebajikan, Kemahiran dan Keberhasilan pekerja serta seiring prinsip PERKESO ‘no one is left behind’ perancangan strategik PERKESO dalam memperluas jaringan keselamatan sosial menerusi Skim Kemalangan Bencana Bukan Kerja (SKBBK) juga disasar untuk direalisasikan tahun ini demi perlindungan keselamatan sosial yang lebih mapan, holistik dan komprehensif,” katanya pada ucaptama Majlis Anugerah Khidmat Cemerlang dan Anugerah Khidmat Setia 2023 PERKESO pada Selasa.

Turut hadir, Ketua Setiausaha KESUMA, Dato’ Sri Khairul Dzaimee Daud; Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) KESUMA, Tuan Sutekno Ahmad Belon; Pengerusi Lembaga PERKESO, Dato Sri Subahan Kamal serta Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Dato’ Sri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed.

PERKESO meraikan 152 anggotanya meliputi 125 orang penerima Anugerah Khidmat Cemerlang (AKC) yang mencatatkan prestasi cemerlang semasa perkhidmatan sepanjang tahun lalu, manakala 27 lagi anggota PERKESO menerima Anugerah Khidmat Setia PERKESO di Hotel Pullman, Kuala Lumpur.

Steven Sim menegaskan, pengiktirafan kepada anggota yang cemerlang merupakan satu manifestasi penghargaan yang berupaya menyuntik motivasi dan inspirasi kepada anggota PERKESO lain, demi kemaslahatan kebajikan pencarum serta keberkesanan perkhidmatan PERKESO. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram