KEMENTERIAN Sumber Manusia (KESUMA) memaklumkan sudah menerima beberapa maklum balas dan input daripada Jemaah Menteri berhubung laporan interim Penubuhan Suruhanjaya Pekerja Gig.
Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata, pihaknya juga akan meneruskan ke peringkat seterusnya iaitu dengan memasukkan memo atau kertas pertimbangan dasar berkaitan perkara itu.
"Sasaran kita sekarang ini adalah untuk membentangkan memo tersebut dalam masa terdekat, mungkin tempoh Jun ini," katanya kepada pemberita ketika Pelancaran Projek Rintis Dasar Progresif di Kuala Lumpur pada Khamis.
BACA LAGI: Laporan interim berhubung Suruhanjaya Pekerja Gig akan dibentangkan kepada Kabinet pada Jun — KSM

Steven ketika sidang media di Majlis Town Hall Projek Rintis Dasar Gaji Progresif di Kuala Lumpur pada Khamis.
Pada Selasa, Steven memberitahu bahawa kementerian akan melaksanakan perincian dengan lebih lanjut berdasarkan input tambahan yang diperoleh dalam mesyuarat itu sebelum Laporan Akhir dibentangkan pada Ogos nanti.
Menurutnya, KESUMA diberikan mandat untuk merealisasikan penubuhan sebuah suruhanjaya pekerja gig oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Laporan itu akan merangkumi perundangan yang diperlukan dalam bentuk akta baharu iaitu mekanisme aduan, struktur dan fungsi suruhanjaya, implikasi kewangan, penentuan gaji, keselamatan sosial dan perlindungan kesihatan serta mengintegrasikan data pekerja dan penyediaan platform berdaftar.
Pada 2 Mac lalu, Anwar mengumumkan penubuhan suruhanjaya itu untuk melindungi dan menjaga kebajikan pekerja gig di Malaysia.
Katanya, langkah itu diambil kerana majoriti besar belia Bumiputera terlibat dalam pekerjaan gig, namun sebagai pekerja tidak formal, mereka tidak punyai perlindungan perundangan pekerjaan serta sistem perlindungan sosial.
Ekonomi gig juga adalah satu trend pasaran bebas memberi kebebasan kepada syarikat untuk membina platform dengan tenaga kerja (pekerja) gig tanpa perlu menjadi pekerja sepenuh masa seperti mana ditakrifkan mengikut Akta Kerja 1955. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
