[VIDEO] Penjaja warga asing kebal, mungkin ada 'tangan ghaib' — Rosli Sulaiman


  • Massa
  • Rabu, 12 Jun 2024

Isu lambakan peniaga warga asing masih sahaja membelenggu rakyat Malaysia khususnya peniaga tempatan.

BERTAHUN-TAHUN lamanya, isu lambakan peniaga warga asing masih sahaja membelenggu rakyat di negara ini, khususnya peniaga tempatan.

Tindakan undang-undang yang dikenakan penguat kuasa terhadap peniaga warga asing seolah-olah langsung tidak memberi kesan kepada golongan tersebut.

Mereka masih sahaja bebas memonopoli ruang perniagaan terutamanya di sekitar ibu kota, seolah-olah kawasan itu adalah hak milik mereka.

BACA LAGI: [VIDEO] Sita dan kompaun tak cukup, perkenal undang-undang baharu termasuk sebat hukum peniaga warga asing

BACA LAGI: [VIDEO] Penjaja warga asing tak serik-serik, tetap berniaga meski dah beberapa kali disita

Tindakan undang-undang yang dikenakan terhadap peniaga warga asing seolah-olah langsung tidak memberi kesan kepada golongan tersebut.

Walaupun operasi membanteras peniaga warga asing giat dilaksanakan pihak penguat kuasa di lokasi-lokasi tertentu, situasi masih lagi sama.

Dalam satu temu bual eksklusif bersama Majoriti, Presiden Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Malaysia, Datuk Seri Rosli Sulaiman tidak menafikan kewujudan 'tangan ghaib' dalam kalangan pihak berkuasa menjadi antara faktor yang menjadikan golongan itu 'kebal' daripada sebarang tindakan undang-undang.

"Saya baru sahaja menerima keluhan, peniaga tempatan di Jalan Chemor dibenarkan berniaga, namun semua barang seperti payung, khemah dan sebagainya perlu dibawa balik selepas berniaga.

"Sebaliknya saya lihat warga asing, ramai yang buka khemah dan tidak berniaga pun, tetapi tidak diambil tindakan.

"Perkara ini memang berlaku. Ini salah satu (situasi) yang saya nampak mungkin ada 'tangan ghaib' yang berada di belakang mereka dan mempertahankannya.

"Ini menyebabkan mereka rasa diri kebal," katanya.

3

Terdapat segelintir penduduk tempatan yang bertindak menyewa premis mereka kepada warga asing.

Beliau berkata, sehingga kini sudah begitu banyak laporan berhubung pegawai penguat kuasa yang dihadapkan ke mahkamah dan dibicarakan atas kesalahan menerima suapan.

"Kita lihat sendiri apa yang berlaku hari ini, pegawai penguatkuasaan ditahan dan disiasat oleh SPRM.

"Walaupun belum dituduh bersalah, tetapi (perkara) ini sangat memalukan terutamanya kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu sendiri," katanya.

Dalam hal ini, beliau berpendapat, Unit Integriti di DBKL yang ditubuhkan bagi menangani isu rasuah, salah laku dan kelemahan tadbir urus itu tidak memainkan peranan sewajarnya.

Justeru, Rosli menggesa agar Unit Integriti di agensi awam itu menjalankan tugas secara lebih teliti dalam mengawal pergerakan, harta dan aset yang dimiliki para pegawainya.

1

Rosli mengakui pelbagai serbuan sudah dilaksanakan pihak berkuasa, namun isu lambakan peniaga warga asing masih belum berjaya diselesaikan.

"Ketua Jabatan (didakwa) tidak melaporkan (salah laku) anggota di bawah jagaannya sehingga SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) sendiri yang masuk dan menyiasat.

"Jangan berkompromi dengan mana-mana pegawai yang terlibat dalam rasuah," tegasnya.

Pada Khamis lalu, seorang pegawai kanan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) disiasat atas dakwaan mengutip sogokan secara bulanan.

Pegawai kanan pihak berkuasa tempatan (PBT) berusia dalam lingkungan 40-an itu ditahan SPRM bagi membantu siasatan dakwaan mengutip sogokan bulanan daripada perniagaan yang dikendalikan warga asing di pusat bandar raya ini.

Seen a few worker doing their job at Dewan Bandaraya Kuala Lumpur building in Kuala Lumpur. FAIHAN GHANI/The Star.

Unit Integriti di DBKL digesa menjalankan tugas secara lebih teliti dalam mengawal pergerakan, harta dan aset yang dimiliki para pegawainya.

Dalam perkembangan sama, beliau turut mendakwa, terdapat segelintir penduduk tempatan yang bertindak menyewa premis mereka kepada warga asing.

Sedangkan mereka tahu perbuatan itu adalah salah di sisi undang-undang.

"Persatuan sama sekali tidak akan berkompromi dengan mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan itu. Saya tidak akan mengeluarkan apa-apa surat rayuan untuk membantu mereka.

"Kita akan melindungi hak peniaga tempatan," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram