Utamakan penduduk tempatan, mufti tegur cara laksana ibadah korban


  • Mukmin
  • Ahad, 10 Jul 2022

LEBIH afdhal melaksanakan ibadah itu dengan penduduk sekitar atapun di kawasan sendiri kerana proses penyembilan boleh dilihat secara bersemuka. — Agensi

MENJELANG bulan Zulhijjah, pasti umat Islam di seluruh dunia yang berkemampuan akan melaksanakan ibadah korban dan ia merupakan sunat muakkad yang dituntut pelaksanaanya tetapi tidak diwajibkan.

Ibadah korban yang dilakukan pada 10,11,12, dan 13 Zulhijah itu membantu umat Islam menghayati semangat pengorbanan agung Nabi Ibrahim ketika ALLAH menguji baginda supaya menyembelih anaknya.

Menerusi ibadah korban juga umat Islam boleh mendapat pahala kerana berbahagi rezeki dengan saudara seagama sama ada di dalam ataupun luar negara.

Berbicara mengenai korban dalam ataupun luar negara, baru-baru ini timbul isu di laman Twitter mengenai penduduk di sebuah kampung yang tidak menyebut namanya hanya mendapat dua ekor lembu sahaja untuk 1,000 rumah.

Manakala di Kemboja dimaklumkan bahawa kampung kecil yang hanya memiliki penduduk kurang daripada 50 rumah mendapat sebanyak 40 ekor binatang korban dan hampir kesuluruhan adalah sumbangan daripada rakyat Malaysia.

kariah

Tangkap layar ciapan berhubung isu korban dalam dan luar negara.

Bagi membahaskan topik itu, Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, perkara seperti kekurangan daging korban itu terjadi kerana kariah masjid di kampung berkenaan berkemungkinan tidak mendapat maklumat yang jelas.

Menurutnya, ahli jawatankuasa sepatutnya mengambil perhatian akan perkara itu agar hebahan mengenai maklumat golongan yang bakal menerima daging korban akan disampaikan dan tidak berlaku sebarang keciciran.

"Ahli jawatankuasa sepatutnya mengambil perhatian akan perkara ini. Mungkin kerana pandemik yang berlaku sebelum ini, siaran media ataupun maklumat tidak jelas dan tidak sampai kepada penduduk. Tapi kini musim endemik, jadi pihak bertanggungjawab perlu mengwar-warkan maklumat itu.

"Dari segi masjid yang terlibat, dia perlu ada siaran maklumatlah mengenai perkara ini agar hebahan sampai kepada penduduk masjid itu sendiri. Kebiasaannya mereka akan ada maklumat mengenai siapa yang melaksanakan korban dan senarai nama yang terima sumbangan daging korban. Mungkin dalam kes ini mereka terlepas pandang, perlu dikemas semula perkara itu," katanya kepada Majoriti.

Berbicara mengenai isu korban dalam atau luar negara, Mohamad Shukri berkata, lebih afdal melaksanakan ibadah itu dengan penduduk sekitar atau di kawasan sendiri kerana proses penyembelihan boleh dilihat secara bersemuka.

Menurutnya, jika berkemampuan adalah tidak menjadi masalah untuk buat di dalam ataupun luar negara tetapi pihak yang bertanggungjawab melaksanakan urusan itu perlu bersikap amanah.

"Jika ada wang lebih, buat di kawasan sendiri dan boleh buat diluar. Walaupun ia adalah kawasan seperti Syiria yang tengah dalam kesusahan. Apa-apa pun masyarakat mereka sendiri yang perlu bertanggungjawab dengan penduduk mereka, kita hanya bantu dari sudut luaran.

"Sebenarnya jika ada wakil daripada negara yang disumbang tiada masalah untuk melihat bagaimana proses itu. Semua pihak itu perlu amanah. Jika tidak melakukan sebetulnya, ibadah korban tidak menjadi baik.

"Jika hanya tahu melalui gambar proses penyembelihan tetapi tidak tahu lembu siapa, perkara itu merumitkan. Sebab itu perlu ada SOP. Misalnya daging korban terlebih, bagaimana ia dibekukan dan dibuat dalam satu proses untuk jangka masa panjang jadi daging itu boleh diberi kepada yang memerlukan. Itu semua adalah SOP," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram