RAKYAT Malaysia yang membeli makanan di pasar malam mungkin terpaksa berbelanja lebih apabila rata-rata peniaga dijangka akan menaikkan harga susulan kenaikan diesel.
Pengerusi Persatuan Pasar Malam Bumiputera Shah Alam dan Klang, Kamarul Nizam berkata, segelintir peniaga pasar malam berhasrat berbuat demikian menjelang 1 Julai nanti.
Bagaimanapun, kos kenaikannya masih belum ditentukan kerana mereka masih menunggu untuk melihat bagaimana harga diesel baharu itu memberi kesan kepadanya.
BACA LAGI: [VIDEO] Pasar malam berusia 3 dekad diarah tutup, peniaga minta campur tangan MP Setiawangsa
BACA LAGI: Pasar malam 'mini Dhaka' jadi tumpuan warga asing diserbu di Kulim
Kamarul, seorang peniaga makanan dan minuman berkata, dia bercadang untuk menaikkan harga gerainya sebanyak 10 peratus.
Peniaga kecil di pasar malam Jalan Cemur Kuala Lumpur, Moganae Sundram berkata, bantuan tunai RM200 Budi Madani kerajaan tidak mencukupi untuk menampung kos bahan api yang meningkat.
Sebagai penjual ikan, dia memandu trak pikap untuk mengangkut ikan dari Perak ke Kuala Lumpur dan kini terpaksa berbelanja lebih RM600 untuk diesel.
Sementara itu, peniaga lain yang menjual sayur-sayuran dan menggunakan pengangkutan sendiri untuk mengangkut barangan daripada pemborong difahamkan turut terjejas, katanya.
Bagaimanapun, golongan itu tidak akan menaikkan harga lagi memandangkan pesaingnya tidak bercadang untuk berbuat demikian.
"Jika saya menaikkan harga sekarang, saya akan rugi kerana ada yang menjual lebih murah," kata Moganae.
Presiden Persatuan Peniaga Bakeri, Biskut, Konfeksi, Mee dan Kuay Teow Malaysia, Chaang Tuck Cheong berkata, harga bekalan berkenaan tidak berubah kerana segelintir pihak masih menikmati subsidi diesel yang disasarkan.
Bagaimanapun, menurutnya ia tidak berjalan lancar seperti yang dijangka.
Terdapat kejadian di mana pemandu lori tidak dapat menggunakan kad armada mereka untuk mengisi minyak kerana gangguan sistem, katanya.
"Pemandu perlu membayar tunai terlebih dahulu, dan mereka mungkin tidak dapat menuntutnya kembali," katanya.
Walaupun kad armada itu menyediakan diesel yang lebih daripada mencukupi untuk menampung penggunaan bulanan, Chaang berkata, ia masih tidak pasti buat masa ini kerana tuntutan masih belum diproses.
"Kita hanya boleh tunggu dan lihat," tambahnya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram